Agensi angkasa negara, penggubal dasar, pelabur dan pemain industri dari seluruh dunia akan berkumpul di Singapura untuk sidang puncak angkasa yang akan diadakan buat kali pertama pada 2026.
Sidang puncak itu akan diadakan dari 2 hingga 3 Februari di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, serentak dengan Pameran Udara Singapura.
Demikian menurut penganjur, Experia Events, pada 28 Ogos.
Sidang puncak itu akan membincangkan tentang keupayaan, peraturan dan jurang pelaburan dalam industri yang sedang berkembang.
Ia juga bertujuan meneroka cara membina masa depan yang terangkum, berdaya komersial dan mampan bagi perniagaan angkasa serta perniagaan berkaitan, lapor The Straits Times (ST).
“Industri angkasa jauh lebih luas daripada roket dan misi penjelajahan, yang biasanya dibayangkan apabila kita berbincang tentang perkara yang wujud di luar bumi,” kata Pengarah Eksekutif, Pejabat Teknologi dan Industri Angkasa (OSTIn), Encik Jonathan Hung.
OSTIn, yang telah memberi sokongan rasmi bagi sidang kemuncak itu, merupakan pejabat angkasa nasional Singapura di bawah Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
“Kita banyak menggunakan aplikasi yang melibatkan angkasa dalam kehidupan seharian, sama ada untuk komunikasi sejagat, televisyen, siaran, keterhubungan Internet atau Sistem Penentu Kedudukan Sejagat (GPS).
Semua itu bergantung sepenuhnya kepada teknologi satelit,” kata Encik Hung kepada ST.
“Selain itu, satelit juga boleh dimanfaatkan untuk pengimejan bagi mengumpul data dan mendapatkan pandangan bagi menyokong langkah perubahan iklim, kemampanan, tindak balas terhadap bencana, daya ketahanan makanan dan sebagainya.
“Banyak data dan maklumat yang diperoleh daripada satelit digunakan untuk menyokong ekonomi sejagat secara lebih luas,” tambah Encik Hung.
Dalam landskap ini, Singapura boleh meneroka penggunaan teknologi satelit untuk meningkatkan operasi negara sebagai hab penerbangan dan mempersiap pelabuhan menghadapi cabaran masa depan, tambah beliau.
Selain itu, pihak syarikat juga boleh memanfaatkan teknologi itu untuk menghasilkan penyelesaian kredit karbon dengan menganalisis komposisi hutan di seluruh dunia, jelas beliau.
Sidang puncak itu diadakan ketika ekonomi angkasa sejagat dijangka berkembang pada kadar tertinggi, daripada AS$630 bilion ($810 bilion) pada 2023 kepada AS$1.8 trilion menjelang 2035, berdasarkan unjuran Forum Ekonomi Sedunia (WEF).
Senarai peserta dan acara pada sidang kemuncak yang bertema, Sempadan Baru: Membentuk Masa Depan Angkasa yang Bertanggungjawab dan Terangkum, masih dalam perancangan.
Menurut Pengarah Urusan, Experia Events, Encik Leck Chet Lam, mengadakan sidang puncak itu serentak dengan Pameran Udara Singapura yang dijadual dari 3 hingga 6 Februari 2026, adalah satu keputusan yang disengajakan.
“Pameran Udara Singapura mempunyai asas peserta dan pempamer yang kukuh.
“Menggabungkan kedua-duanya membantu menggalak perbincangan antara sektor, (kerana) angkasa dengan penerbangan memang saling berkait,” tambah Encik Leck.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg