Langkah Amerika Syarikat bagi mengenakan tarif ke atas barangan import mereka boleh memberi impak besar ke atas Singapura dan menimbulkan perang dagang sejagat, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada 3 April.
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, bercakap kepada media menyusuli keputusan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, untuk mengenakan cukai 10 peratus ke atas kebanyakan barang yang diimport ke Amerika dari Singapura dan rakan utama, dengan cukai lebih tinggi bagi kebanyakan negara lain.
Penganalisis berkata langkah ini boleh memperburuk perang dagang global dan memberi kesan kepada pertumbuhan dunia, lapor The Straits Times (ST).
“Tarif 10 peratus ke atas Singapura akan memberi impak besar kepada ekonomi kita,” kata Encik Gan.
“Isi rumah dan perniagaan kita perlu bersedia menghadapi cabaran,” tambahnya.
Singapura juga sedang menilai semula ramalan pertumbuhannya untuk 2025 dan bersedia memberi sokongan kepada isi rumah dan perniagaan jika diperlukan.
“Masih terlalu awal kerana beberapa maklumat belum lengkap, jadi kami perlu menilai semula ramalan ekonomi,” kata Encik Gan.
Walaupun tarif 10 peratus ke atas barangan Singapura lebih rendah berbanding negara lain, ia tetap memberi kesan jika perdagangan global merosot.
Beliau juga berkata beberapa negara sudah mengumumkan tarif balas.
“Jika langkah tarif balas berterusan, ia boleh menjadi perang dagang global yang memberi kesan besar kepada ekonomi dunia,” tambahnya.
“Ia akan menjejas aliran perdagangan, rantaian bekalan, keyakinan pengguna dan perniagaan, serta melambatkan pelaburan. Semua ini boleh memperlahankan ekonomi dunia dan memberi kesan kepada prospek ekonomi Singapura dalam jangka panjang.”
Singapura dan Amerika mempunyai hubungan ekonomi yang lama serta Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), kata Encik Gan.
Singapura akan berunding dengan Amerika untuk memahami cara pengiraan tarif dan menjelaskan salah faham yang menyebabkan levi 10 peratus itu.
“FTA Amerika-Singapura sangat penting bagi kededua negara dan memberi manfaat besar kepada Amerika. Import Amerika ke Singapura telah menikmati tarif sifar selama lebih dua dekad dan Amerika juga menikmati lebihan perdagangan sebanyak $30 bilion,” katanya.
“Kami tentunya kecewa. Di bawah FTA, kami boleh mengambil tindakan balas atau menyelesaikan pertikaian. Namun, kami memilih untuk tidak melakukannya kerana duti balas akan meningkatkan kos import dari Amerika dan memberi kesan kepada pengguna serta perniagaan kita,” tambahnya.
“Kami akan berhubung dengan rakan-rakan di Amerika untuk memahami kebimbangan mereka dan mencari cara bekerjasama.”
Pada masa yang sama, Singapura juga akan berunding dengan rakan perdagangan lain, terutama negara anggota Asean, untuk melihat bagaimana mereka boleh bekerjasama menjaga ekonomi mereka.
“Asean adalah platform semula jadi untuk berbincang dengan menteri rakan sejawat bagi memperdalam integrasi,” kata Encik Gan.
Singapura juga akan terus bekerjasama dengan rakan sejawat di seluruh dunia untuk menguatkan Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO).
“Penting untuk kita memperkukuhkan dan memelihara sistem pelbagai hala kerana ia memberikan asas untuk kerjasama perdagangan antarabangsa berdasarkan peraturan,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg