Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perincian tarif Trump

Apr 3, 2025 | 4:46 PM
Presiden Donald Trump duduk untuk tandatangan arahan eksekutif bagi tarif di Rumah Putih.
Presiden Donald Trump duduk untuk tandatangan arahan eksekutif bagi tarif di Rumah Putih. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Setelah berminggu-minggu menunggu, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan tarif baru yang meluas terhadap rakan dagang pada 2 April, menyifatkannya sebagai “pengisytiharan kemerdekaan ekonomi”. 

Satu “tarif asas” baru sebanyak 10 peratus akan dikenakan ke atas ekonomi di seluruh dunia, dengan kadar yang lebih tinggi ditetapkan bagi negara-negara yang dianggap oleh Washington sebagai pelaku buruk. 

Apakah butiran pengumuman terbaru Encik Trump?

Tarif Baru 

Tarif “asas” sebanyak 10 peratus akan dikenakan bermula pada 12.01 pagi (12.01 tengah hari waktu Singapura) pada 5 April, sementara kadar yang lebih tinggi untuk negara yang dianggap Rumah Putih sebagai “pelaku terburuk” akan berkuat kuasa pada 12.01 pagi pada 9 April. 

Tarif tambahan yang lebih tinggi memberi impak kepada rakan dagang utama Amerika, dengan Kesatuan Eropah (EU) menghadapi kadar sebanyak 20 peratus dan China pada kadar 34 peratus. 

Bagi China, 20 peratus levi tambahan yang dikenakan Encik Trump pada 2025 kerana peranannya dalam rantaian bekalan fentanyl haram menjadikan jumlah tarif baru kepada 54 peratus.

Rakan utama lain termasuk India dengan kadar 26 peratus, Korea Selatan pada 25 peratus, dan Jepun pada 24 peratus. 

Encik Trump berkata: “Bagi negara yang memperlakukan kita dengan buruk, kita akan kira kadar gabungan semua tarif, halangan bukan kewangan, dan penipuan lain.” 

Angka tersebut, katanya, adalah “lebih kurang separuh daripada apa yang mereka kenakan kepada kita.”

Pengecualian

Canada dan Mexico tidak dikenakan tarif baru, kata Rumah Putih pada 2 April.

Encik Trump sebelum ini mengenakan tarif 25 peratus ke atas import dari kedua-dua negara, dengan kadar lebih rendah untuk tenaga Canada, dan tarif ini akan kekal.

Barangan melalui Perjanjian Amerika-Mexico-Canada dikecualikan, tetapi jika Canada dan Mexico mencapai persetujuan mengenai levi, mereka akan dikenakan tarif asas terkini Encik Trump.

Tarif negara tidak digabungkan dengan tarif sektor, seperti untuk besi dan aluminium.

Cuba, Belarus, Korea Utara, dan Russia tidak dikenakan tarif baru kerana sudah dikenakan sekatan perdagangan, kata Rumah Putih.

Tarif Lain

Pada 3 April, tarif baru 25 peratus ke atas import auto dan beberapa bahagian akan dikenakan, memberi cabaran baru kepada industri.

Encik Trump juga mengenakan tarif 25 peratus ke atas besi dan aluminium, kini diperluas ke tin aluminium.

Siasatan juga dijalankan ke atas import tembaga dan kayu, yang mungkin membawa tarif tambahan.

Pegawai Rumah Putih berkata presiden mempertimbangkan tarif serupa untuk semikonduktor, farmaseutikal, dan mineral kritikal.

Selain itu, levi 25 peratus ke atas barangan dari negara pengimport minyak Venezuela bermula 2 April, dan Encik Trump mengancam mengenakan tarif ke atas minyak Russia.

Pakej Kecil

Pada 2 April, Encik Trump memerintahkan penamatan pengecualian duti untuk pakej kecil dari China, langkah yang dijangka mengganggu import produk murah popular.

Peraturan itu mendapat perhatian kerana pertumbuhan peruncit dalam talian Shein dan Temu dari China yang meningkatkan penghantaran menggunakan pengecualian tersebut.

Produk yang diimport dengan cara tersebut dari China kini akan dikenakan duti 30 peratus atau AS$25 ($33.60) setiap barangan, meningkat kepada AS$50 selepas 1 Jun. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg