Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Heng: Pasukan PAP di East Coast sambut baik kehadiran Edwin Tong

Kawasan Joo Chiat digabungkan dengan GRC East Coast dalam laporan EBRC
Mar 15, 2025 | 6:36 PM
Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat (empat dari kiri) semasa sesi berjumpa penduduk di Simei Plaza pada 15 Mac.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat (empat dari kiri) semasa sesi berjumpa penduduk di Simei Plaza pada 15 Mac. - Foto ST

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC East Coast menyambut Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, ke dalam pasukan dan akan bekerjasama dengannya sehingga perubahan terperinci mengenai senarai calon GRC diumumkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat pada 15 Mac.

“Komitmen kami untuk berkhidmat kepada penduduk kami tidak berubah dan kami mahu memastikan bahawa kami menunaikan janji kami,” tambah beliau.

Kawasan kejiranan Joo Chiat yang diwakili Encik Tong telah digabungkan dengan GRC East Coast dalam laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac.

Encik Heng bercakap kepada media selepas sesi berjumpa penduduk di Simei Plaza, kawasan Changi-Simei milik Cik Jessica Tan, di mana kelima-lima Anggota Parlimen GRC East Coast hadir.

Encik Tong tidak hadir kerana berada di Hong Kong atas urusan kerja.

Spekulasi timbul kerana PAP jarang meletakkan ramai pegawai politik dalam satu senarai GRC, menyebabkan tanda tanya sama ada Encik Heng, Encik Tong, atau Dr Maliki Osman akan berada dalam senarai akhir pada pilihan raya akan datang, lapor The Straits Times (ST).

Dr Maliki adalah Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).

Apabila ditanya mengenai perubahan EBRC dan bagaimana senarai calon GRC akan disesuaikan, Encik Heng berkata perubahan tersebut perlu untuk mencerminkan perubahan profil penduduk, memandangkan pembangunan perumahan baru di kawasan tersebut.

Encik Tan berkata pasukan tersebut telah mula menghubungi penduduk yang berada dalam sempadan GRC East Coast yang baru – termasuk flat di Chai Chee yang menempatkan sekitar 20,000 penduduk.

“Yang lebih penting bagi kami adalah memahami keperluan penduduk dan memberi sokongan kepada mereka, serta melibatkan mereka dalam mencipta East Coast yang lebih inklusif,” kata Encik Heng.

Beliau juga menyentuh usaha pasukan di setiap kawasan, memandangkan East Coast adalah kawasan yang mempunyai penduduk dari pelbagai peringkat umur dan pekerjaan.

Dr Maliki berkata cabaran di Siglap adalah melibatkan pemilik hartanah privet dalam kerja penaiktarafan.

Cik Cheryl Chan menambah program duta penjagaan masyarakat di Fengshan dan Bedok bertujuan untuk memantau warga emas yang hidup bersendirian.

Encik Heng menekankan kepentingan kestabilan politik dan perpaduan rakyat, memandangkan tempoh lima tahun akan datang dijangka sangat tidak menentu.

“Saya harap kita menghargai apa yang kita ada di Singapura, dan bahawa pemerintah, PAP, jika dipilih semula, dapat menetapkan hala tuju untuk membawa Singapura ke hadapan,” tambah Encik Heng.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg