Singapura mesti kekal relevan dengan ekonomi masa depan yang dipacu oleh teknologi dan inovasi, di mana syarikat dan inovator boleh menguji penyelesaian baru sebelum meningkatkannya ke peringkat rantau dan dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.
Berkata demikian semasa hari kedua perbahasan Belanjawan di Parlimen, Encik Heng berkata ini akan membolehkan Singapura menjadi batu loncatan bagi syarikat-syarikat untuk menerokai masa depan baru serta pasaran dunia yang lebih luas.
“Untuk kekal berdaya saing, kita mesti terus mengekalkan orientasi luaran kita.
“Syarikat melabur di Singapura bukan sahaja untuk pasaran kita, tetapi sebagai pintu masuk ke rantau ini. Singapura telah memainkan peranan ini dengan baik dalam tempoh 60 tahun yang lalu.
“Memandangkan ekonomi masa depan akan didorong oleh teknologi dan inovasi, untuk kekal relevan, Singapura mesti meletakkan diri kita sebagai ‘Makmal Hidup’ abad ke-21, di mana syarikat dan inovator menguji penyelesaian baru sebelum meningkatkannya ke rantau ini dan dunia.
“Kami boleh menjadi batu loncatan bagi syarikat untuk meneroka masa depan baru, ke pasaran dunia yang lebih luas,” ujar Encik Heng.
Beliau menambah, untuk memastikan hal tersebut dapat berlaku, agensi pengawalseliaan memainkan peranan penting.
Mereka perlu memenuhi mandat mereka untuk mengawal selia dengan selamat dan berkesan, sambil mengikuti perubahan dan memudahkan idea dan inovasi baru, katanya.
Memberi contoh, Encik Heng berkata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah mendakap dwimandat untuk menyelia dan membangunkan sektor kewangan serta memperluaskan usaha dalam bidang baru seperti kewangan digital dan mampan.
Selain itu, bakat merupakan satu lagi tonggak utama strategi inovasi Singapura, kata Encik Heng, sambil menambah bahawa pemerintah komited membantu setiap warga Singapura mencapai potensinya.
“Pada tahun-tahun akan datang, saya menggalakkan lebih ramai warga Singapura untuk membangunkan kefasihan ‘dwibahasa’ dalam bahasa perniagaan serta dalam sains dan teknologi.
“Pada masa yang sama, kita juga mesti mengalu-alukan yang terbaik dari seluruh dunia untuk berada di sini.
“Bersama, kita boleh belajar daripada yang terbaik, bekerja dengan yang terbaik dan membina tempat tinggal yang lebih baik bagi generasi akan datang,” katanya.
Selain Encik Heng, Anggota Parlimen (AP) lain telah mengetengahkan beberapa perkara berbeza pada hari kedua perbahasan Belanjawan pada 27 Februari.
Antaranya, mereka membincangkan kesukaran yang dihadapi pekerja, termasuk pekerja pertengahan kerjaya yang merasakan tugas mereka terancam akibat automasi atau kecerdasan buatan (AI).
Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) berkata ramai karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) pertengahan kerjaya berasa tertekan. Sebahagian daripada mereka berada dalam industri yang mengecut atau terganggu, sementara yang lain mendapati peranan mereka berubah kerana teknologi.
“Sesetengah pekerja yang dipindahkan menghadapi kesukaran untuk beralih ke pekerjaan baru pada tahap kemahiran dan gaji yang sama.
“Ramai yang mendapati sukar memasuki sektor pertumbuhan walaupun terdapat usaha untuk meningkatkan kemahiran kerana majikan sering memilih calon yang mempunyai pengalaman khusus industri atau pekerja lebih muda,” katanya.
Sementara itu, Encik Edward Chia (GRC Holland-Bukit Timah), berkata:
“Majikan memainkan peranan penting dalam menyelaraskan kemahiran pekerja dengan tuntutan perubahan industri yang berkembang. Adalah penting untuk kami memberikan mereka sokongan yang lebih kuat bagi memastikan tenaga kerja Singapura kekal bersedia untuk masa hadapan.”
Isu lain yang dibahaskan termasuk sokongan bagi warga emas, pekerja Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan kos sara hidup.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg