Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, dan Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, membincangkan pentingnya usaha mempererat ikatan antara generasi muda Singapura dengan Brunei dalam pertemuan di Brunei pada 16 Julai.
Encik Heng, bersama isterinya, Cik Heng, menemui Puteri Al-Muhtadee Billah, yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri; dan isteri, Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa lawatan Encik Heng ke negara itu.
Encik Heng mengadakan lawatan empat hari ke Brunei dari 14 hingga 17 Julai
Singapura bakal menjadi hos kepada Putera Al-Muhtadee Billah bagi Program Pemimpin Muda (YLP) ke-10 pada 2024.
Sebelum ini, Encik Heng dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, telah menegaskan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang istimewa dengan meningkatkan kerjasama dalam bidang seperti daya tahan makanan, tenaga boleh diperbaharui dan kemampanan untuk manfaat kedua-dua negara.
Encik Heng turut menyatakan hubungan rapat yang terjalin lama antara kedua-dua negara, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 15 Julai.
Beliau melawat negara itu sebagai wakil pemerintah Singapura sempena sambutan ulang tahun ke-78 Sultan Hassanal Bolkiah, tambah kenyataan itu.
Encik Heng turut menghadiri upacara Memeriksa Kawalan Kehormatan Diraja dan istiadat penghormatan pada 15 Julai sebagai sebahagian daripada lawatan rasminya itu.
Beliau dan isterinya juga mengadakan pertemuan dengan Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Dalam pertemuan itu, Encik Heng turut menyampaikan ucapan selamat hari jadi daripada para pemimpin Singapura.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan bahawa Encik Heng juga akan mengadakan pertemuan dengan pelbagai menteri Brunei dan pemimpin perniagaan, dan melawat Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, dan ladang akuakultur.
PMO menyatakan lagi: “Kunjungan tahunan oleh para pemimpin Singapura (ke Brunei) untuk menyampaikan ucapan kepada Sultan Hassanal Bolkiah secara peribadi pada hari lahirnya mencerminkan hubungan istimewa antara Singapura dengan Brunei Darussalam yang telah lama terjalin.”
Lawatan Encik Heng juga berlangsung ketika Singapura dan Brunei meraikan ulang tahun ke-40 tahun penubuhan hubungan diplomatik antara kededua negara pada 2024.
“
“Kunjungan tahunan oleh para pemimpin Singapura (ke Brunei) untuk menyampaikan ucapan kepada Sultan Hassanal Bolkiah secara peribadi pada hari lahirnya mencerminkan hubungan istimewa antara Singapura dengan Brunei Darussalam yang telah lama terjalin.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg