Hubungan Singapura dengan dua jirannya – Brunei dan Malaysia – mempunyai “asas kukuh” dan hubungan dua hala tersebut akan terus dibina dengan mengenal pasti bidang kerjasama baru, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Usaha memperkukuh hubungannya dengan negara lain – termasuk melalui lawatan seperti yang beliau lakukan ke dua negara itu – penting untuk negara kecil seperti Singapura, yang tidak boleh hanya menumpukan perhatian pada isu domestik.
“Untuk negara kecil seperti Singapura, kita tidak boleh beroperasi dalam keasingan.
“Terutama sekali dalam persekitaran global seperti sekarang, kita perlu terus memikirkan cara terbaik untuk memperkukuh kerjasama, menjalin hubungan dan memajukan kepentingan kita di luar negara, supaya kita dapat memperluas ruang dalam mana kita beroperasi demi manfaat warga,” kata Encik Wong.
Encik Wong berkata demikian semasa bertemu media Singapura pada akhir lawatan pengenalannya ke Brunei dan Malaysia pada 11 dan 12 Jun.
Ia lawatan pertama Encik Wong ke luar negara sejak mengambil alih sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei.
Di Brunei, Encik Wong bertemu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, yang turut mengehoskan jamuan tengah hari di Istana Nurul Iman pada hari yang sama.
Menyentuh tentang hubungan unik Singapura dan Brunei, Encik Wong berkata:
“Kita mempunyai hubungan yang kukuh dan matang, tetapi masih banyak lagi yang perlu diusahakan bersama, sama ada dalam bidang pertahanan atau dalam bidang yang sedang kita bincangkan seperti keselamatan makanan.”
Di Malaysia, Encik Wong mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Encik Wong menyifatkan hubungan Singapura dengan Malaysia sebagai hubungan yang dijalin berasaskan budaya dan sejarah yang menyatukan dua negara itu.
Meskipun Singapura dan Malaysia mempunyai perbezaan perspektif dalam beberapa isu, masih banyak lagi persamaan dan kaitan yang terus berkembang melalui projek-projek yang sedang diusahakan.
Ini termasuk rangkaian Laluan Sistem Transit Laju (RTSLink) Johor Bahru-Singapura dan Zon Ekonomi Khas antara Johor dan Singapura, yang berupaya mengubah keadaan sedia ada, katanya.
“Projek-projek seperti ini dapat memperkukuh hubungan kita, mempermudah aliran barang, orang, dan khidmat seberang Tambak.
“Ini juga dapat membantu menjadikan Singapura dan Malaysia sebagai sauh yang dapat membentuk rantau yang dinamik dan berdaya saing,” katanya.
Selain menyentuh tentang dasar luar negara, Encik Wong ditanya mengenai hal di tanah air berkaitan pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata masih banyak perkara perlu diusahakan secara domestik dan luar negara untuk membantu mendorong Singapura maju ke hadapan, dan pilihan raya akan diadakan pada masa yang sesuai.
Beliau ditanya apakah warga Singapura boleh menjangka pilihan raya diadakan tahun ini.
Encik Wong menjawab: “Akan tiba masanya, apabila kita memutuskan bahawa masa itu sesuai, pilihan raya akan diumumkan, dan orang ramai akan tahu.
“Sama juga dengan laporan Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC). Apabila ia sudah dibentuk dan dah mula melakukan tugasnya, orang ramai akan diberitahu dan saya rasa akan bersiap sedia untuk pilihan raya.
“Buat masa sekarang, masih banyak perlu dilakukan, dari segi agenda domestik kita dan juga bagi saya... untuk mendekati rakan kongsi luar kita dan mendorong Singapura maju ke hadapan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg