Walaupun Singapura mungkin berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding negara lain, aktivis Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak boleh leka, dan tidak boleh mengambil ringan amanah yang telah diberikan oleh rakyat kepada parti, kata Pengerusi PAP, Encik Heng Swee Keat.
Berucap di Konvensyen PAP pada Ahad di Singapore Expo kepada lebih 1,000 aktivis, beliau menyeru mereka untuk memainkan peranan mereka dan terus berkhidmat dengan rendah hati untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.
“Kita mesti terus bekerja keras, berkhidmat dengan rendah hati, menegakkan nilai parti kita, dan melaksanakan agenda kita. Barulah kita boleh menang dan memperbaharui kepercayaan dengan rakyat Singapura,” kata Encik Heng, yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Semasa ucapannya, Encik Heng menyeru para aktivis untuk bekerjasama untuk mendapatkan sokongan dan menambat kepercayaan penduduk mereka supaya PAP akan dapat memperoleh mandat yang jelas dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Beliau menambah bahawa adalah penting bagi PAP untuk terus membina daripada usaha Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, yang telah membina Singapura menjadi sebuah negara yang lebih baik untuk semua rakyat Singapura, tanpa mengira kaum, bahasa dan agama.
“Ini adalah misi yang telah diturunkan oleh parti kita dari generasi ke generasi. Kita juga telah menanam dalam diri kita nilai-nilai yang telah diwujudkan oleh Encik Lee dan para pemimpin pengasas lebih enam dekad yang lalu – keadilan, kesaksamaan, keharmonian kaum, integriti, dan tolak rasuah.
“Kerja untuk membina masyarakat berbilang kaum yang harmoni dengan peluang untuk semua, tidak akan berhenti,” kata Encik Heng.
Dalam konvensyen itu, seramai 415 aktivis parti telah diiktiraf atas dedikasi dan sumbangan mereka.
Antaranya ialah mantan pemegang jawatan politik dan mantan Anggota Parlimen (AP), Cik Lim Hwee Hua, yang menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang atas khidmat bakti dan sumbangan cemerlang beliau kepada PAP dan Singapura selama hampir 30 tahun.
Cik Lim bermula berkhidmat sebagai seorang AP di GRC Marine Parade semasa Pilihan Raya Umum 1997, sebelum berpindah ke GRC Aljunied semasa Pilihan Raya Umum 2006.
Beliau juga merupakan wanita pertama yang berkhidmat dalam Kabinet Singapura apabila beliau dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, dan Menteri Kedua bagi Kewangan dan Pengangkutan pada 2009.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg