Belanjawan 2024 akan dibentangkan di Parlimen pada 16 Februari 2024 oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Pembentangan Belanjawan 2024 itu akan disiarkan secara langsung melalui televisyen, radio dan laman web Belanjawan Singapura.
Pautannya boleh didapati di laman web Belanjawan Singapura di www.singaporebudget.gov.sg.
Penyata penuh Belanjawan akan disiarkan di laman web Belanjawan Singapura setelah disampaikan oleh Encik Wong, kata Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada 28 Disember.
Orang ramai dijemput berkongsi pandangan dan cadangan mereka mengenai Belanjawan 2024 melalui laman mikro unit maklum balas pemerintah, Reach, di www.reach.gov.sg/budget2024.
Mereka boleh melakukannya hingga 26 Januari.
Reach juga akan mengadakan acara fizikal Listening Point pada 23 Januari dari 12 tengah hari hingga 3 petang.
Mereka yang berminat boleh berkongsi pandangan mereka secara peribadi pada sesi di Galaxis di One North itu.
MOF bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) dan pertubuhan akar umbinya dalam platform pelibatan Ask Kopi Kakis #shareyourviews secara maya dan tempat pelibatan fizikal di kawasan perumahan untuk mendapatkan pandangan dan cadangan orang ramai hingga 26 Januari.
Maklumat lanjut tentang sesi-sesi itu boleh didapati di www.go.gov.sg/akksyvb24.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg