Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Wong: Utamakan identiti sebagai warga S’pura, tidak kira kaum

May 14, 2024 | 6:01 PM
Encik Lawrence Wong menjawab soalan pihak media semasa sesi temu bual di Pusat Akhbar Nasional di Hill Street sebelum beliau mengambil alih sebagai Perdana Menteri jelang 15 Mei 2024.
Encik Lawrence Wong menjawab soalan pihak media semasa sesi temu bual di Pusat Akhbar Nasional di Hill Street sebelum beliau mengambil alih sebagai Perdana Menteri jelang 15 Mei 2024. - Foto ST

Dalam sebuah masyarakat dengan pelbagai kumpulan etnik dan identiti budaya berbeza, Singapura akan sentiasa terdedah kepada kuasa luar yang boleh dengan mudah mempengaruhi golongan berbeza.

Ini kerana setiap kumpulan etnik berlainan mempunyai hubungan luar yang mendalam yang terkait dengan leluhur mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Dalam temu bual dengan media pada 10 Mei 2024, Encik Wong telah ditanya antara lainnya, tentang identiti masyarakat Singapura yang berkembang dan berubah saban tahun.

Encik Wong berkata pendekatan Singapura terhadap isu ini adalah unik.

“Kita menghargai setiap masyarakat, besar atau kecil, dan kita ingin memastikan setiap masyarakat mempunyai tempat, rasa dihormati, dihargai dan merasakan semangat kekitaan di Singapura.

“Ini bermakna setiap masyarakat mesti dapat meneruskan adat dan tradisi mereka, budaya etnik mereka sendiri dan tidak pernah merasakan mereka tersisih daripada masyarakat Singapura.

“Pada masa yang sama, kita bekerjasama dengan semua masyarakat untuk mencari titik persamaan untuk melihat apa yang menyatukan kami sebagai rakyat Singapura dan kami terus berusaha ke arah mengembangkannya dan mengukuhkan identiti Singapura ini,” ujar beliau.

Pendekatan sedemikian bukanlah perkara baru, bahkan ia merupakan pendekatan Singapura sejak zaman kemerdekaan lagi.

Itu sebabnya orang Cina di Singapura menganggap diri mereka berbeza daripada orang Cina di China; begitu juga orang Melayu dan India Singapura yang tidak melihat diri mereka sebagai sama dengan orang Melayu dari rantau ini atau orang India dari India, tambahnya.

“Ada sesuatu yang tersendiri tentang tradisi Singapura dan saya fikir ia adalah sesuatu yang berharga yang mesti kita terus bina dan ia akan terus berkembang,” kata Encik Wong.

Pada masa yang sama, beliau akur terdapat “kuasa luar yang kuat yang boleh mempengaruhi pelbagai segmen masyarakat kita dengan mudah”.

Ini kerana warga Singapura yang berbilang kaum memiliki kaitan yang mendalam dengan kuasa-kuasa luar itu.

Hubungan tersebut ada kaitan dengan nenek-moyang dan budaya kita masing-masing dan merupakan “kaitan yang sangat kuat”, kata Encik Wong.

“Saya fikir kaitan ini penting kerana ia bersangkutan dengan siapa kita dan kita menghargai kaitan tersebut. Dan walaupun kita mengekalkan kaitan ini, kita mesti sedar bahawa kita pertama sekali merupakan warga Singapura dan meskipun kita mempunyai hubungan ini, kita mesti terus berusaha ke arah mengukuhkan identiti Singapura kita dan mengembangkan titik persamaan yang kita semua kongsi sebagai rakyat Singapura,” ujarnya.

Begitupun, Encik Wong sangat jelas bahawa warga Singapura mesti mendakap kepelbagaian, lebih-lebih lagi kerana pada masa hadapan, masyarakat hanya akan bertambah rencam.

“Maka melangkah ke hadapan, kita harus menerima kepelbagaian itu, terus mendekati satu sama lain dan pada masa yang sama, bekerja lebih keras untuk mencari perpaduan di tengah-tengah kepelbagaian... dan mencari titik persamaan,” katanya.

Beliau menambah pemerintah amat serius dalam memastikan kumpulan berbeza diberi ruang untuk terlibat sama dalam membentuk masa depan Singapura.

Itulah sebabnya pemerintah menyediakan pelbagai wadah baru bukan sahaja bagi orang ramai menyumbang pandangan mereka, malah juga mengambil bahagian dalam membuat keputusan.

Namun, apabila timbul isu sensitif dan terdapat perbezaan pendapat yang ketara antara kumpulan yang berlainan, peranan pemerintah adalah untuk mencari jalan yang membolehkan kumpulan-kumpulan itu bersatu, mendengar pandangan orang lain, bertolak ansur serta memikirkan jalan terbaik bagi Singapura tanpa meretakkan masyarakat.

“Pastinya akan ada isu-isu sedemikian yang perlu kita tangani, tetapi saya fikir pendekatan kami di Singapura ialah mendakap kepelbagaian.

“Kita tidak menonjolkan perbezaan kita, tetapi kita sentiasa mencari cara untuk menyesuaikan diri, bertolak ansur dan bergerak maju bersama sebagai sebuah masyarakat,” ulas Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg