Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Bakal PM Wong: Parti yang ingin perintah harus dapatkan mandat rakyat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bakal PM Wong: Parti yang ingin perintah harus dapatkan mandat rakyat

Akan pastikan PAP terus menang keyakinan, kepercayaan rakyat untuk kekal tadbir S’pura
May 14, 2024 | 06:00 PM



Parti Tindakan Rakyat (PAP) di bawah kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri dan ketua parti akan terus berusaha mendapatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat demi mendapatkan mandat untuk memerintah, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

“Saya tidak membuat andaian PAP akan memenangi pilihan raya akan datang atau saya akan menjadi Perdana Menteri secara automatik selepas pilihan raya itu. Saya berkata demikian secara serius,” ujar beliau, yang bakal menjadi Perdana Menteri baru Singapura.

“Sistem (di Singapura)... perlukan mandat dan tadbir urus berkesan untuk sesiapa yang mendapat mandat. Itulah yang kami harap dapat dipelihara, iaitu sistem ini dapat diteruskan, di mana mandat diberikan kepada parti yang memerintah dan parti pemerintah boleh mentadbir urus Singapura untuk kepentingan rakyat,” kata Encik Wong.

“Tentu sekali, sebagai pemimpin, sebagai PM dan pada masa depan, ketua parti, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan PAP memenangi keyakinan dan kepercayaan rakyat dan kami mendapat mandat untuk mentadbir urus Singapura.

“Tetapi, jika PAP tidak dapat memenuhi taraf yang dijangka rakyat Singapura, dan parti alternatif atau beberapa parti alternatif yang boleh berbuat demikian tampil, mereka layak mendapat mandat itu,” kata Encik Wong lagi. 

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama media tempatan di Pusat Akhbar Nasional (NPC) pada 10 Mei.

Wawancara itu diadakan menjelang upacara angkat sumpah di Istana pada 15 Mei, apabila Encik Wong akan dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri keempat Singapura.

Kabinet baru yang dibentuk Encik Wong juga dijadual mengangkat sumpah pada hari yang sama. Beliau memilih Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, sebagai Timbalan Perdana Menteri, bersama Encik Heng Swee Keat.

Mantan perdana menteri, Encik Lee Hsien Loong, akan berkhidmat sebagai Menteri Kanan.

Menjawab soalan mengenai jangkaan rakyat yang inginkan sistem politik yang membolehkan persaingan politik dalam pemerintah, Encik Wong berkata kehadiran pembangkang dalam sistem politik adalah satu hakikat yang pasti.

Keadaan telah berubah dan pembangkang kini boleh dijangka menandingi semua kerusi dalam pilihan raya, kata beliau.

Encik Wong berkata yang perlu dipelihara di Singapura ialah sistem politik di mana mandat yang diberikan rakyat membolehkan parti pemerintah mentadbir urus negara demi kepentingan rakyat.

Realiti keadaan politik di Singapura hari ini ialah tiada sistem dominan atau sistem satu parti, ujar beliau. Sebaliknya, sistem di sini membolehkan suara alternatif di Parlimen dan pandangan berbeza-beza boleh diutarakan mengenai sebarang isu, tambahnya.

Justeru, PAP perlu berusaha gigih untuk mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat, ujar Encik Wong.

Selain politik dan ekonomi, Encik Wong menyentuh tentang pelbagai topik lain, seperti hubungannya dengan masyarakat Melayu, usaha mendekati orang muda dan mobiliti sosial.

Beliau berkata pemerintah di bawah kepimpinannya akan bersedia menilai semula perkara yang perlu supaya apa yang dilakukan selaras dengan keperluan dan kehendak rakyat.

Proses ini telah dimulakan menerusi usaha ‘Melakar Hala Tuju Singapura (Forward SG), kata Encik Wong, dan memberi contoh perubahan yang diorak dalam perumahan awam dan SkillsFuture.

“Tidak lama lagi kami akan mengumumkan butiran baru mengenai skim manfaat orang tidak bekerja yang telah dibincangkan, walaupun ia satu perkara yang pada waktu lalu kami katakan ia tidak akan dilakukan,” kata Encik Wong.

Beliau berkata keadaan yang berubah, sekitaran ekonomi tidak menentu, kemajuan teknologi dan perubahan pesat bermakna lebih banyak pekerjaan akan terjejas dan sistem sokongan diperlukan.

“Ini satu contoh betapa kami bersedia melihat semula andaian asas dan menimbangkan cara-cara terbaik untuk membawa Singapura ke hadapan,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >