Buat julung-julung kali, persatuan induk bagi perniagaan Melayu/Islam setempat akan menganjurkan sesi pertemuan bukan sahaja untuk peniaga Melayu/Islam setempat, malah untuk pihak awam yang berminat.
Sesi ‘townhall’ atau taklimat umum yang bakal dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) pada 27 Jun antara lain selaras dengan wawasan lebih besar persatuan itu untuk mengembangkan masyarakat perniagaan Melayu Singapura.
“Semua dijemput. Sudah tiba masanya semua ahli lembaga DPPMS turun padang untuk mendekati ahli-ahli DPPMS serta para peniaga yang belum mengenali kami.
“Tiada pendapat atau pandangan yang salah. Ini adalah peluang untuk mereka kongsi bersama kami dan bagi kami juga berkongsi program dan sokongan yang kami sediakan,” kata Presiden baru DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan.
Sebenarnya, sesi ‘townhall’ itu adalah antara beberapa pendekatan baru serta keutamaan yang dipelopori Encik Abdul Malik sejak Mei, apabila beliau menyandang jawatan pucuk pimpinan DPPMS itu.
Beliau mengambil alih pucuk pimpinan daripada mantan Presiden, Encik Abu Bakar Mohd Nor.
Bercakap di podcast BHerbual NoTapis Berita Harian (BH) pada 27 Mei, Encik Abdul Malik berkata beliau tidak mahu DPPMS dilihat sebagai “syok sendiri” yang menganggap ia tahu apa yang perniagaan mahu dan memerlukan.
Justeru, beliau bersama anggota lembaga DPPMS yang lain akan meningkatkan usaha untuk mendekati para peniaga bagi memahami cabaran yang mereka hadapi.
Selain mengadakan sesi ‘townhall’, Encik Abdul Malik juga menyasar untuk meningkatkan kesedaran menerusi pemasaran dan publisiti tentang program dan latihan yang disediakan oleh DPPMS.
Ini agar lebih ramai peniaga Melayu tempatan, khususnya pemilik perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta mikro-SME seperti perniagaan dari rumah (HBB) atau peniaga sambilan dapat meraih manfaat.
“Sebenarnya masyarakat Melayu kita bagus dalam perniagaan. Mereka pandai masak, pandai buat barangan sendiri.
“Tapi mungkin mereka tidak tahu bagaimana untuk membuat pengiraan kos perniagaan atau mengembangkan perniagaan mereka.
“Di sinilah, kami dapat membantu mereka,” kata Encik Abdul Malik, yang juga pemilik rangkaian makanan dan minuman (F&B), Selera Rasa Nasi Lemak dan Crave.
Pengarah Eksekutif DPPMS, Cik Nadiah Hassan, yang turut serta dalam podcast tersebut, berkata dewan perniagaan tersebut mempunyai pelbagai kursus, latihan, bantuan serta peluang bimbingan dan membina rangkaian yang dapat menyokong pemilik SME Melayu.
Ini termasuk program bimbingan seperti, Protege Kita, yang telah dijalankan selama enam edisi, yang memberi pengetahuan asas penting seperti cara mendapatkan sijil perniagaan dan cara mendapatkan geran bagi peniaga Melayu yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang program-program DPPMS, antara keutamaan Encik Abdul Malik selaku Presiden baru badan tersebut adalah untuk bekerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam (MMO) Singapura.
Menurutnya dengan itu, DPPMS dapat “membantu MMO membantu benefisiari” mereka yang ingin memulakan perniagaan supaya mereka dapat berdikari dan meraih pendapatan sendiri.
“MMO kita banyak membantu masyarakat. Mereka ingin membantu benefisiari mereka – menganjurkan kursus untuk HBB, mikro-SME – tapi mungkin tidak tahu bagaimana ingin melakukannya.
“Di DPPMS pula, kami sudah ada kursus-kursus dan latihan itu semua.
“Jadi, mengapa tidak kita bekerjasama untuk menganjurkan program-program yang dapat melatih masyarakat kita supaya mereka dapat memulakan perniagaan dengan lebih baik,” kata Encik Abdul Malik.
Semasa podcast BHerbual yang berlangsung selama lebih sejam itu, Encik Abdul Malik dan Cik Nadiah turut berkongsi cabaran yang dihadapi pemilik SME serta mikro-SME, yang berdepan dengan kos perniagaan tinggi seperti kos sewa dan kos tenaga manusia.
Mengulas tentang berita bahawa terdapat semakin banyak kedai F&B yang ‘gulung tikar’, Encik Abdul Malik berkata DPPMS mempunyai program dan latihan untuk membantu pemilik syarikat membangun semula.
“Penutupan cawangan atau perniagaan bukan bererti anda gagal. Malah, ia peluang untuk anda semak semula strategi perniagaan anda untuk membangun kembali.
“Jangan sedih, jangan menyesal. Di DPPMS, kami boleh bantu anda... mencari pasaran yang sesuai, lihat semula strategi anda. Jangan putus asa,” ujar Encik Abdul Malik.
“
Semua dijemput. Sudah tiba masanya semua ahli lembaga DPPMS (Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura) turun padang untuk mendekati ahli-ahli DPPMS serta para peniaga yang belum mengenali kami. Tiada pendapat atau pandangan yang salah. Ini adalah peluang untuk mereka kongsi bersama kami dan bagi kami juga berkongsi program dan sokongan yang kami sediakan.Ahli Lembaga Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) 2025/2027
Penaung:
– Encik Zaqy Mohamad, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran)
Penasihat Kehormat:
– Encik Farid Khan (mantan Presiden, 2019 hingga 2023)
– Encik Abu Bakar Mohd Nor (mantan Presiden, 2023 hingga 2025)
Presiden:
– Encik Abdul Malik Hassan (Pengarah, Selera Rasa Nasi Lemak)
Timbalan Presiden:
– Encik Azhar Othman (Pengerusi Eksekutif, Enercon Asia)
Naib Presiden:
– Encik Muhammad Syahiran Rohajat (Pengarah, MSR Interior Design)
– Encik Fazli Mansor (Pengarah, ISGN Ventures)
Bendahari Kehormat:
– Encik Mohamed Shamir Abdul Wahid (Pengarah, Shamir Real Estate Asia)
Penolong Bendahari Kehormat:
– Encik Mohamed Shehzad Mohamed Islam (Pengarah, Ethis Core SG)
Setiausaha Kehormat:
– Encik Dainial Sani Lim (Pengarah, Xignam Consulting)
Penolong Setiausaha Kehormat:
– Cik Maslina Mohamed (Pengarah, STIE)
Anggota Lembaga:
– Encik Khairil Asyraf Ali (Pengasas, CEO, Bayn Works)
– Encik Abdul Latip Isnin (Pengarah Urusan, HSG Global)
– Encik Azhar Mohamed Salleh (Zoul Nasi Ayam Penyet)
– Cik Nabillah Jalal (Pengasas, Rakan Bersama, NJ Studio, Artusik)
– Cik Kartina Rosli (Pengarah, Ketua Strategi, Tin Communications)
– Encik K H Raja Mohamad Maiden (Pengasas, Pengarah Urusan, Five Pillars)
Dilantik untuk sertai:
– Encik Muhammad Hasan Basri Abdul Rahman (Pengarah Urusan, Pondok Abang)
– Cik Shehzhadee Abdul Rahman (Pengarah, Shehzhadee Law Corporation)
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg