Bunyi deringan telefon boleh menandakan beliau perlu bergegas ke hospital dengan serta-merta untuk menyambut kelahiran bayi.
Tugasnya sebagai konsultan pakar perbidanan dan sakit puan di Pusat Wanita Hospital Raffles tidak menentu dan bermakna bila-bila saja Dr Jazlan Joosoph boleh diperlukan.
Tuntutan tugasnya yang boleh berlaku tanpa diduga dan tanpa dirancang adalah satu perkara biasa bagi Dr Jazlan, dan ini tidak terkecuali pada bulan Ramadan.
“Pernah sekali, saya hanya sempat iftar dengan minuman air paip sebab terlalu sibuk dan tidak dapat menyediakan makanan atau minuman untuk berbuka.
“Namun bagi saya, ini tidak menjadi masalah. Yang penting saya dapat laksana tanggungjawab dengan baik, dapat mempercepatkan berbuka puasa dan dapat beribadah,” ujarnya kepada Berita Minggu (BM).
Menurut Dr Jazlan, 53 tahun, lazimnya pembedahan yang dirancang akan dijadualkan pada waktu pejabat manakala pembedahan kecemasan perlu dijalankan pada bila-bila masa.
“Bayi kalau nak dilahirkan, tidak kira masa... ia boleh berlaku tanpa sebarang amaran – pagi, petang, siang, malam, hujung minggu, hari cuti awam, hari cuti sekolah, bulan puasa, malam Syawal, pagi Syawal,” kata Dr Jazlan, yang mempunyai seorang anak remaja lelaki.
Dr Jazlan yakin berpuasa sepanjang Ramadan tidak mengganggu fokus dan tumpuannya semasa bertugas.
Namun, dalam menjalankan tugas, yang kadangkala agak mencabar ketika berpuasa, beliau kerap mengingatkan dirinya agar mengutamakan keselamatan.
“Kalau terpaksa berdiri berjam-jam untuk melaksanakan pembedahan yang panjang dan rumit, atau terpaksa memandu dalam keadaan penat dan mengantuk, saya harus membuat beberapa penyesuaian demi soal keselamatan.
“Peluang untuk berehat usah disia-siakan. Waktu di mana saya boleh makan dan minum harus diutamakan dengan makanan dan minuman berkhasiat yang secukupnya,” katanya.
Penat lelah dan pengorbanannya itu dianggap satu kebanggaan kerana diberi peluang dan penghormatan menjadi doktor dalam kepakaran perbidanan.
“Saya rasa bertuah kerana dapat berkongsi pengalaman manis dan menyentuh hati setiap kali menyambut kelahiran bayi.
“Saya amat bersyukur kerana diberikan amanah untuk membimbing dan membantu para pesakit sehingga dikurniakan zuriat yang sihat dan sempurna. Penat lelah dan getir menjalankan tugas yang agak mencabar ini diimbangi dengan rasa puas dan bersyukur,” kongsi Dr Jazlan.
Beliau juga berkata berasa amat terharu dan seronok apabila ibu bapa menamakan anak-anak mereka dengan namanya, atau mengambil ilham daripada namanya dengan menamakan anak mereka bemula dengan huruf ‘J’.
“Saya masih ingat seorang pesakit memberitahu saya, setiap kali anaknya yang bernama Jazlan tiba di sekolah tadikanya, guru-guru di sana akan berbisik-bisik dan ada di antara mereka mengusik ‘Eh doktor dah sampai’.
“Tetapi baru-baru ini saya terpaksa menguruskan seorang pesakit yang kandungannya meninggal dunia. Bayi lelaki seberat 2.1 kilogram semasa dilahirkan tanpa bernyawa itu telah diberikan nama Jazlan,” katanya dengan nada pilu.
Sebagai pakar perbidanan, Dr Jazlan juga sering berkongsi dengan ramai wanita hamil atau pesakitnya yang tampil mendapatkan nasihatnya.
“Kelebihan sebagai seorang doktor bidan Muslim adalah saya memahami tuntutan agama. Jadi saya dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan para pesakit saya dan memberi nasihat dan bimbingan yang sesuai kepada mereka,” ujarnya.
Mengulas tugas dan tuntutan agama yang mencabar bagi golongan profesional sepertinya, Dr Jazlan berkata:
“Tugas yang mulia itu juga satu ibadah. Jika kita anggap tugas kita berat, ada banyak tugas lain yang lebih berat. Makanya, saya sering mengingatkan diri saya dan semua tenaga kerja Islam supaya jangan mengeluh ketika terpaksa bekerja keras dalam bulan Ramadan.
“Banyak-banyak bersabar dan banyak-banyak bersyukur.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg