Bulan Ramadan kini tiba, dan umat Islam seantero dunia sedang menjalani ibadah berpuasa sebagai salah satu tuntutan agama.
Berpuasa memerlukan persiapan dari segi mental dan fizikal, dan amalan bersahur merupakan satu persiapan untuk kekal bertenaga sepanjang hari.
Namun, tidak semua pekerjaan sama. Berita Minggu (BM) menampilkan beberapa individu yang berkongsi tentang cabaran pekerjaan mereka yang merentasi waktu dan memerlukan pengorbanan.
Bagi juruterbang syarikat penerbangan Emirates asal Singapura, Kapten Mohammad Faishal Mashud, 47 tahun, berbuka di luar negara dan berjauhan dari keluarga sudah menjadi lumrah pekerjaannya.
“Berjauhan dari keluarga adalah sebahagian daripada tuntutan pekerjaan, tetapi mengetahui ia hanya sementara, memberi saya semangat. Nasib baik ada teknologi yang merapatkan jarak itu dan saya sering berhubung dengan keluarga melalui panggilan video di Skype, Teams atau Zoom,” katanya.
Doktor perbidanan, Dr Jazlan Joosoph, 53 tahun, juga berkongsi tentang tugasnya yang tidak mengira masa, dengan kelahiran bayi boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Biasanya, pembedahan yang dirancang akan dijadualkan pada waktu pejabat. Manakala, pembedahan kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Begitu juga dengan tugas menyambut kelahiran. Bayi kalau nak dilahirkan, tidak kira masa... boleh berlaku tanpa sebarang amaran – pagi, petang, siang, malam, hujung minggu, hari cuti awam, hari cuti sekolah, bulan puasa, malam Syawal, pagi Syawal,” ujarnya.
Seperti Encik Mohammad Faishal dan Dr Jazlan, ramai lagi pekerja yang berkhidmat tanpa mengira masa, termasuk pekerja restoran yang melayan pelanggan sewaktu berbuka, penjual di bazar Ramadan mahupun mereka yang sentiasa bertungkus-lumus memastikan keselamatan dan ketenteraman negara.
Pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) Leftenan (LTA) Norashikin Khamis, 31 tahun, berkongsi pengalamannya terpaksa bersahur di tapak kebakaran sewaktu menjalankan tugas.
“Tidak kira sama ada ia Ramadan atau tidak, pasukan saya mempunyai pemikiran yang sama, iaitu untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Bagi pekerja restoran ataupun mereka yang berniaga sepanjang bulan puasa, cabarannya pula perlu berdiri untuk tempoh yang lama dan melayan pelanggan walaupun mereka sendiri tidak sempat berbuka puasa.
Kelihatan di bazar Kampong Gelam baru-baru ini ialah anak seorang selebriti yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan menjual busana Melayu klasik untuk Hari Raya.
Apabila Danish Anaqi Aaron Mustapha, 21 tahun, menyuarakan keinginannya untuk memulakan sebuah jenama baju klasik, bapanya Aaron Aziz memberi sokongan penuh, walaupun ini bermakna anaknya itu terpaksa berniaga di bazar Ramadan itu selama 35 hari untuk mempromosikan perniagaannya.
Ini hanyalah segelintir contoh mereka yang terpaksa bekerja dan berbanting tulang sewaktu berpuasa. Mereka adalah bukti ibadah puasa itu tidak menjejas ibadah atau iman semasa bekerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg