Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Drama ‘Kasih’ ketengahkan skim bantuan pemerintah

Feb 14, 2024 | 10:10 PM
Drama bertajuk ‘Kasih’ terbitan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dan Papahan Films, bermatlamat memperkenalkan orang ramai kepada pelbagai kaedah sokongan dari pemerintah, meliputi usaha meringankan kos sara hidup, perumahan dan pembangunan kanak-kanak.
Drama bertajuk ‘Kasih’ terbitan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dan Papahan Films, bermatlamat memperkenalkan orang ramai kepada pelbagai kaedah sokongan dari pemerintah, meliputi usaha meringankan kos sara hidup, perumahan dan pembangunan kanak-kanak. - Foto MCI

Daripada kisah cinta anak bujang yang bertemu jodoh semasa menyertai kelas memasak kepada usaha merawat semula hubungan dua beradik yang telah lama terputus.

Orang ramai kini dapat menikmati satu siri drama pendek Melayu bertajuk Kasih yang meneroka konsep kasih sayang dari sudut keluarga, teman dan kenalan. Siri itu dilancarkan 14 Februari.

Antologi enam episod terbitan bersama Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dan Papahan Films itu turut bermatlamat memperkenalkan orang ramai kepada pelbagai kaedah sokongan dari pemerintah meliputi usaha meringankan kos sara hidup, perumahan dan pembangunan kanak-kanak.

Ia dijayakan barisan pelakon termasuk Hisyam Hamid, Azura Goh, Ainon Talib dan diiringi sajian muzik tema rok ala 90-an yang menyentuh tentang cinta, harapan, sikap daya tahan dan nostalgia.

Orang ramai boleh menonton drama Kasih menerusi saluran YouTube Gov.sg yang menyiarkan dua episod baru pada 14 Februari, 23 Februari dan 8 Mac.

“Dengan Kasih, kami berharap dapat mendekati masyarakat kami dengan lebih rapat menerusi kisah tentang cinta dan menerusi muzik,” kata Encik Aaron Lye, pengarah kempen dan penerbitan, MCI.

Kementerian itu dalam kenyataannya berkata siri drama itu berharap dapat mendidik dan mendekati warga Singapura mengenai pelbagai sokongan yang ditawarkan pemerintah seperti geran perumahan, subsidi penjagaan anak dan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).

Ia juga bertujuan mendidik orang ramai tentang beberapa isu semasa seperti masalah penipuan, keadilan di tempat kerja dan kos sara hidup.

Beberapa inisiatif lain seperti Pakej Majulah dan SG Lebih Sihat juga diketengahkan dalam siri antologi itu.

“Di MCI, kami telah meneroka cara-cara yang kreatif untuk membincangkan tentang isu tempatan serta meningkatkan kesedaran terhadap pelbagai inisiatif pemerintah dan langkah bantuan,” kata Encik Lye lagi.

Pengarah Kreatif, Papahan Films, Raihan Halim, berkata Kasih pula melanjutkan penerokaan kerjayanya sebagai seorang penghasil filem dengan menerbitkan kisah-kisah yang unik, menyentuh hati dan memupuk inspirasi.

Terdahulu, beliau merupakan pengarah di balik filem televisyen dan siri web popular bertajuk Gunting diterbit masing-masing pada 2017 dan 2022.

“Siri ini adalah hasil titik peluh saya dengan penuh kasih sayang dan peluang bagi saya mencipta semula lagu 90-an yang membuatnya satu pengalaman unik,” kata Raihan.

“Saya harap Kasih dapat menyentuh seramai mungkin penonton sebagaimana ia telah menyentuh hati saya dan pasukan di sebaliknya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg