Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua bayi didera hingga maut antara 2021 dengan 2024; 3 kes penderaan kanak-kanak cedera serius pada 2025
Dua bayi didera hingga maut antara 2021 dengan 2024; 3 kes penderaan kanak-kanak cedera serius pada 2025
Dua bayi didera hingga maut antara 2021 dengan 2024; 3 kes penderaan kanak-kanak cedera serius pada 2025
Dua bayi meninggal dunia selepas didera oleh ibu bapa mereka antara tahun 2021 dengan 2024, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Dalam kedua-dua kes tersebut, pihak Perkhidmatan Perlindungan di bawah kementerian beliau tidak dimaklumkan mengenai penderaan itu sebelum kanak-kanak terbabit meninggal dunia, ujar Masagos pada 3 November dalam satu jawapan bertulis di Parlimen kepada Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Kenneth Poon.
Difahamkan bahawa dua kanak-kanak yang meninggal dunia itu ialah Trevor Neo dan Zabelle Peh. Trevor meninggal dunia pada usia lapan bulan pada September 2024 selepas ibunya memukul dan menekupnya sehingga lemas. Zabelle pula meninggal dunia pada usia dua bulan pada Januari 2023 akibat kecederaan di kepala, setelah ibunya dengan kasar menjatuhkannya ke dalam katil bayi.
Encik Poon meminta data mengenai jumlah kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak yang telah disahkan, yang melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah bagi setiap tahun dalam tempoh lima tahun yang lalu, serta jumlah kes yang mengakibatkan kecederaan serius atau kematian.
Beliau juga bertanya tentang peratusan kes sedemikian yang pernah dilaporkan kepada agensi perlindungan kanak-kanak sebelum ini.
Encik Poon telah mengemukakan pertanyaan mengenai jumlah kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah yang berasas bagi setiap lima tahun lalu, dan bilangan kes yang mengakibatkan kecederaan parah atau kematian.
Beliau juga bertanya mengenai bahagian atau kadar kes sedemikian yang pernah dilaporkan kepada agensi perlindungan kanak-kanak sebelum ini.
Sebanyak 687 kes penderaan kanak-kanak melibatkan mangsa daripada peringkat bayi baru lahir hingga usia enam tahun memerlukan campur tangan statutori oleh Perkhidmatan Perlindungan MSF pada 2025. Agensi berkenaan lazimnya menguruskan kes-kes penderaan kanak-kanak berisiko tinggi.
Daripada jumlah tersebut, tiga kes melibatkan kecederaan parah namun tiada kematian dicatatkan.
Pertanyaan parlimen itu dibangkitkan susulan keputusan mahkamah pada 21 Oktober yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas ibu bapa kepada seorang bayi, Trevor.
Bapanya, Neo Jia Ming, 27 tahun, dihukum penjara 16 tahun, manakala ibunya, Chloe Gan, 23 tahun, dihukum penjara 15 tahun dan tiga bulan.
Sepanjang hayatnya yang singkat, Trevor sering dipukul, digoncang dan mulut serta hidungnya ditekup menggunakan tangan oleh ibu bapanya bagi menghentikan tangisannya. Dia akhirnya maut selepas Gan melemaskannya, memukul mukanya dan menelangkupkannya di atas tilam.
Dalam satu lagi kes pada 2023, bayi bernama Zabelle meninggal dunia akibat kecederaan di kepala selepas ibunya, Sim Liang Xiu, menghempasnya dengan kuat ke dalam katil bayi. Mangsa telah didera hanya beberapa minggu selepas dilahirkan dan mengalami keretakan pada beberapa bahagian tubuhnya.
Bapa Zabelle, Peh Wei Jian, 34 tahun, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, manakala Sim yang berusia 31 tahun dihukum penjara lapan tahun.
Dalam pada itu, Cik Valerie Lee (GRC Pasir Ris-Changi) turut bertanyakan panduan yang disediakan bagi penjaga dan pakar kesihatan sekiranya mengesyaki bayi didera walaupun tiada kecederaan fizikal yang ketara dilihat pada tubuh mangsa.
Cik Lee bertanya sama ada protokol pelaporan membolehkan campur tangan awal dibuat sebelum kecederaan serius berlaku, di samping melindungi keluarga daripada campur tangan yang tidak wajar atau tidak berasas.
Menjawab pertanyaan itu, Encik Masagos berkata para penjaga yang mengesyaki kanak-kanak didera harus membuat laporan kepada Talian Bantuan Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH), biarpun tiada kesan kecederaan yang kelihatan.
Beliau menambah bahawa kakitangan kesihatan serta pegawai barisan hadapan lain memanfaatkan instrumen pelaporan penderaan kanak-kanak yang standard untuk menilai kes sebelum memutuskan sama ada perlu merujuknya kepada NAVH atau polis sekiranya mangsa berada dalam bahaya serta-merta.
Menurut Encik Masagos, pegawai perlindungan kanak-kanak sering berdepan penilaian rumit berikutan maklumat yang terhad dan berubah-ubah, termasuk maklumat yang diberikan oleh pihak yang menjaga mangsa sendiri.
“Meskipun tiada sistem perlindungan kanak-kanak yang berupaya membongkar setiap penipuan atau maklumat yang diputarbelitkan, mahupun mengesan setiap kes tepat pada masanya, ini sama sekali tidak mengurangkan tanggungjawab bersama kita untuk mengambil iktibar daripada kes serius dan terus memperkukuh cara kebimbangan dikenal pasti, dikongsi dan disusuli,” tegas Encik Masagos.
Kali pertama Trevor dimasukkan ke hospital adalah di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) ketika dia berusia kira-kira sebulan. Pihak hospital telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan mendapati tiada kesan kecederaan padanya.
Dia kemudian dibawa semula ke KKH pada usia empat bulan selepas pengasuhnya menyedari kesan luka. Namun, bayi itu dibenarkan keluar pada hari yang sama selepas doktor yang memeriksanya mendapati keadaannya sihat tanpa sebarang koyakan atau pendarahan di bawah lidah.
Pada 21 Oktober, MSF memaklumkan kepada The Straits Times (ST) bahawa pihaknya telah melantik satu panel semakan bebas bagi meneliti kes Trevor untuk mengenal pasti iktibar serta mengesyorkan penambahbaikan kepada sistem perlindungan kanak-kanak sedia ada.
“Semakan itu menekankan perlunya para profesional lebih peka dan tangkas bertindak terhadap sebarang kebimbangan membabitkan bayi serta kanak-kanak kecil, di samping menyelaraskan sokongan apabila sesebuah keluarga berurusan dengan pelbagai agensi berbeza,” kata jurucakap MSF.
Iktibar daripada kes berkenaan telah pun dikongsi merentasi sektor sosial, penjagaan kesihatan dan pendidikan awal kanak-kanak.