Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua beradik teroka bidang penerbangan, kejar cita-cita tinggi
Manfaat pengalaman simulator penerbangan untuk pembelajaran kanak-kanak
Dua beradik teroka bidang penerbangan, kejar cita-cita tinggi
Minat anak sulungnya terhadap kapal terbang mendorong seorang ibu mencari peluang pembelajaran praktikal dalam bidang penerbangan, yang turut disertai bersama adik perempuannya.
Bagi Cik Nurhazimah Halim, 37 tahun, program Aeroviation itu membolehkan anak sulungnya, Azfar Amiruddin Mohammad Jamalludin, 11 tahun, mendalami minatnya terhadap kapal terbang, sambil memberi anak keduanya, Anis Adawiyah Mohammad Jamalludin, sembilan tahun, peluang mencuba bidang baharu.
Menerusi kelas itu, kedua-duanya berpeluang mempelajari tentang dunia penerbangan, termasuk cara pesawat dikendalikan melalui penggunaan simulator penerbangan.
Azfar, yang meminati kapal terbang sejak kecil, berkata pengalaman menggunakan simulator merupakan antara perkara yang paling digemarinya.
“Saya memang suka kapal terbang sejak kecil. Saya suka mempelajari tentang pelbagai jenis pesawat dan bagaimana kapal terbang berfungsi.
“Perkara yang paling saya suka di Aeroviation ialah simulator penerbangan kerana saya dapat merasakan pengalaman mengendalikan kapal terbang seperti seorang juruterbang sebenar,” katanya.
Beliau berkata latihan berulang kali membantunya mengasah kemahiran mengawal simulator itu.
Azfar juga berminat untuk menjadi juruterbang apabila dewasa kelak, meskipun beliau masih terbuka untuk meneroka bidang lain.
“Buat masa ini, saya mahu terus belajar dan meningkatkan kemahiran saya dalam penerbangan,” katanya lagi.
Berbeza dengan abangnya, Anis belum pasti sama jika mahu menceburi bidang penerbangan pada masa hadapan.
Namun, beliau menikmati peluang mempelajari sesuatu yang berbeza daripada apa yang diajar di sekolah.
Beliau setuju bahawa simulator penerbangan sukar tetapi beliau tetap mahu terus mencubanya.
Pengalaman itu turut mengajarnya supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan sesuatu yang mencabar.
“Saya perlu terus mencuba, berlatih dan belajar daripada kesilapan. Walaupun saya belum pandai seperti orang lain, saya tetap boleh belajar sedikit demi sedikit,” kata anak kedua itu.
Cik Nurhazimah berkata beliau mula mengenali program Aeroviation selepas mencari peluang pembelajaran yang lebih berstruktur dan praktikal untuk anak-anaknya.
Melihat minat Azfar terhadap kapal terbang, beliau mahu anaknya mendalami bidang itu melalui pengalaman pembelajaran yang berbeza daripada sekadar membaca buku atau menonton video.
Beliau kemudian turut mendaftarkan Anis agar anak perempuannya itu berpeluang meneroka bidang baru.
Beliau percaya kanak-kanak perlu diberi peluang mencuba pelbagai bidang, termasuk sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), tanpa dibataskan oleh tanggapan tentang bidang yang sesuai untuk lelaki atau perempuan.
“Saya tidak mahu mengehadkan pilihan anak-anak berdasarkan jantina atau tanggapan bahawa sesuatu bidang lebih sesuai untuk lelaki atau perempuan,” kata ibu kepada lima anak termasuk seorang yang meninggal dunia baru-baru ini.
Beliau berharap pendedahan itu dapat membantu anak-anak membina keyakinan diri, kemahiran berfikir secara kritis dan keupayaan menyelesaikan masalah.
Namun, beliau tidak mengharapkan setiap kelas pengayaan menjadi laluan kepada kerjaya pada masa hadapan.
“Jika minat mereka berkembang menjadi sesuatu yang lebih serius, saya dan suami akan menyokong mereka.
“Tetapi jika ia sekadar pengalaman yang bermakna, itu juga sudah cukup bernilai,” kata guru bahasa Melayu itu di Sekolah Rendah Park View. Suaminya, Encik Mohammad Jamalludin Mohammad Affandi, juga seorang guru Bahasa Melayu.
Selain program penerbangan, anak-anaknya turut mengikuti kegiatan lain seperti kelas piano dan program STEM, manakala anak-anak yang lebih kecil didedahkan kepada kegiatan seperti permainan deria dan aktiviti bermain sambil belajar.
Kelas penerbangan di Aeroviation menelan belanja sekitar $288 sebulan bagi setiap anak, manakala kelas piano berharga $45 setiap sesi.
Dengan anggaran empat sesi piano sebulan bagi setiap anak, perbelanjaan bagi kedua-dua kegiatan itu mencecah lebih $450 sebulan.
Dari segi pemilihan kelas, Cik Nurhazimah berkata beliau mengambil kira minat anak-anak, manfaat program serta kesesuaiannya dengan keperluan keluarga.
Beliau juga tidak mahu jadual mereka terlalu padat sehingga menjejas masa untuk bermain, berehat dan bersama keluarga.
“Saya lebih rela anak-anak mengikuti beberapa aktiviti yang benar-benar bermakna daripada memenuhi jadual mereka dengan pelbagai kelas semata-mata kerana bimbang mereka akan ketinggalan,” ujar beliau lagi.