Dua syarikat pembinaan dalaman didenda hampir $10 juta kesemuanya, selepas satu siasatan selama empat tahun oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS).
Kededua syarikat itu telah bersubahat selama lima tahun untuk menipu dalam 12 bidaan tender bernilai lebih $34 juta.
Menurut CCCS, syarikat Flex Connect, sebelum ini dikenali sebagai Facility Link, didenda $4,885,263, manakala Tarkus Interiors didenda $5,113,918.
Ini adalah nilai denda terbesar yang dikenakan badan pemerhati persaingan itu bagi kes penipuan bidaan.
Bidaan yang dimanipulasi itu adalah bagi kerja-kerja pembinaan dan kemasan dalaman di hartanah bukan kediaman, termasuk pejabat, kedai runcit dan kedai makanan dan minuman.
Tender tersebut ditawarkan dari Ogos 2016 hingga Ogos 2021 dan bernilai antara $150,000 dengan $7.7 juta.
Jumlah keseluruhan nilai tender tersebut ialah sekitar $34.1 juta, lapor The Straits Times (ST).
Premis yang terjejas oleh penipuan bidaan tersebut termasuk gimnasium Pure Fitness di bangunan Ocean Financial Centre dan cawangan Citibank di Taman Perniagaan Changi.
Ia juga termasuk pejabat firma perakaunan, Ernst & Young, di 77 Robinson Road; rangkaian restoran, Hans Im Gluck, di Boat Quay dan Vivo City; serta hab syarikat perisian komputer, Oracle, di Bandar Perniagaan Mapletree.
Kededua syarikat itu adalah antara sekumpulan 44 firma yang dibenarkan menerima kontrak bernilai tinggi, kata CCCS.
Di bawah sistem pendaftaran Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), hanya firma dalam kumpulan tersebut dibenarkan menyertai tender bagi projek pemerintah tanpa had nilai untuk kerja-kerja hiasan dan kemasan dalaman.
Tiada projek pemerintah yang terjejas dengan kes manipulasi bidaan itu, kata penolong pengarah undang-undang dan penguatkuasa CCCS, Cik Ng Yee Ting, semasa satu taklimat media pada 20 Disember.
Dalam satu kenyataan berasingan, CCCS menjelaskan cara kededua syarikat itu bersubahat dalam bidaan tender untuk memberi kelebihan kepada satu sama lain.
Syarikat yang dijangka menang tender biasanya akan berkongsi maklumat harga bidaan dan butiran lain dengan syarikat yang satu lagi.
Syarikat yang satu lagi kemudian akan mengemukakan bidaan lebih tinggi supaya syarikat yang dijangka menang mempunyai peluang lebih cerah menjadi pemenang tender.
Beberapa kali, satu syarikat akan menyiapkan harga bidaan dan butiran berkaitan untuk syarikat yang satu lagi.
Syarikat yang satu lagi kemudian akan menyerahkan harga bidaan tersebut kepada pelanggan.
Sebanyak tujuh daripada 12 tender akhirnya diberikan kepada Tarkus, manakala satu dimenangi oleh Flex Connect.
Menurut CCCS, bakal pelanggan “tidak menerima tawaran harga yang benar-benar berdaya saing” daripada kededua syarikat itu, dan oleh itu, mungkin bayar berlebihan bagi tender tersebut.
Pada Mei 2024, CCCS mengeluarkan satu notis undang-undang, dikenali sebagai Keputusan Pelanggaran Dicadangkan, terhadap kededua syarikat itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg