Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua guru gigih ajar Al-Quran kepada murid tidak kira usia, latar belakang

Jun 17, 2024 | 8:59 PM
Bagi Ustazah Ramlatti Ahmin (kiri) dan Ustazah Rozita Mohamed, pembelajaran Al-Quran amat penting bagi setiap umat Islam.
Bagi Ustazah Ramlatti Ahmin (kiri) dan Ustazah Rozita Mohamed, pembelajaran Al-Quran amat penting bagi setiap umat Islam. - Foto PERSATUAN GURU-GURU AL-QURAN (PERGERAQ)

Bagi dua asatizah di Persatuan Guru-Guru Al-Quran (Pergeraq) ini – Ustazah Ramlatti Ahmin dan Ustazah Rozita Mohamed – usia dan bahasa bukanlah hambatan bagi seseorang menimba ilmu agama. Lebih-lebih lagi, demi mempertingkat diri dan mendalami ilmu Al-Quran.

Persatuan Islam yang terletak di Changi Road ini mengadakan kelas pembelajaran Al-Quran secara percuma seperti program Kempen Celik Al-Quran (KCQ) dan program berbayar yang lain, untuk memenuhi keperluan orang Islam di sini.

Menurut Ustazah Ramlatti, 64 tahun, tenaga pengajar Al-Quran sambilan dan ahli jawatankuasa di Pergeraq, mendalami, memahami dan membaca Al-Quran merupakan tanggungjawab setiap Muslim, tanpa mengira umur dan pangkat seseorang.

“Ilmu Al-Quran tersangat luas dan banyak cabangnya. Sebagai umat Islam, kita perlu mendalami Al-Quran kerana ia merupakan petunjuk yang nyata dan perisai kehidupan kita semua.

“Apa yang pasti, hanya Al-Quran yang akan menemani kita di alam kubur nanti. Jalan menuju ke syurga Allah, tidak mudah dan murah, justeru, ambil peluang selagi hayat dikandung badan, dan memperkasa diri kita dengan mendalami ilmu dan belajar Al-Quran sebaiknya.

“Di Pergeraq, kami menyediakan pelbagai peringkat atau modul untuk belajar Al-Quran. Bermula daripada asas seperti mengenal huruf hinggalah peringkat yang lebih tinggi. Usia bukanlah penghalang, dengan kemahuan yang kental, semuanya boleh dilakukan. Kami mempunyai murid berusia 70 tahun dan 80 tahun ke atas, dan mereka juga gigih belajar di Pergeraq,” jelas nenek tiga cucu ini dengan ramah.

Beliau yang juga giat bersama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Kelab Masyarakat Ci Yuan, sentiasa mengalu-alukan penglibatan kaum Muslimin bersama Pergeraq. “Kami di Pergeraq bersama-sama mencari idea dan buah fikiran untuk menjadikan Pergeraq sebuah badan Islam yang relevan dan mencintai Al-Quran.

“Jika ada sesuatu majlis yang kami anjurkan, kami akan saling membantu antara satu sama lain, dan menjadikannya sebuah majlis yang berjaya,” tambah Ustazah Ramlatti.

Bagi Ustazah Rozita Mohamed, 59 tahun, pula, selain mengajar secara sambilan di Pergeraq, beliau juga membantu mereka poster untuk dimuat turun di media sosial rasmi Pergeraq.

Ibu empat anak ini juga mengajar secara dalam talian dan menggunakan dwibahasa dalam kelasnya. Beliau juga amat menitikberatkan ilmu tajwid yang sempurna dalam pengajarannya.

“Bagi pendapat saya secara peribadi, sebagai guru Al-Quran, ilmu tajwid itu sangat penting dan perlu diterapkan dengan betul sewaktu membimbing pelajar Al-Quran.

“Bermula dengan makhraj (tempat dan cara mengeluarkan bunyi huruf) dan sifat huruf hingga hukum-hakam tajwid yang lain, demi mengelakkan daripada salah sebutan pada lafaz atau makna ayat yang dibaca. Dengan ilmu tajwid dan juga penggunaan bahasa Arab yang baik, guru boleh membimbing pelajar mereka dengan bacaan yang sempurna lagi cemerlang,” kata Ustazah Rozita.

Menurutnya lagi, untuk terus mendekati generasi muda, beliau menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris. Ini mudah bagi mengajar pelajar yang kurang mahir berbahasa Melayu, khususnya golongan muda dan bukan Melayu.

“Untuk mendekati warga muda dan remaja ini, saya menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris dalam pembelajaran Al-Quran saya. Ini amat penting, kerana ada antara mereka yang lebih fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris juga perlu dilakukan untuk mengajar pelajar bukan Melayu, seperti pelajar Cina dan Filipina agar pembelajaran Al-Quran ini mudah difahami.

“Namun yang penting, pembelajaran Al-Quran boleh dilaksanakan dengan apa juga cara, dan kecintaan terhadap Al-Quran ini boleh meresap di hati mereka,” kata Ustazah Rozita dengan positif.

HULUR BANTUAN

Anda boleh menghulurkan bantuan kepada Pergeraq dengan::

1. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa DBS 017-903204-0. WhatsApp untuk resit @ 9030-7057. Tulis nama anda/zakat atau derma.

2. PayNow kepada UEN T06SS0040C. Di ruang ‘rujukan’ sila tulis ‘nama anda /zakat atau derma’.

* Untuk keterangan lanjut, lungsuri laman pergeraq.sg, atau e-mel kepada pergeragsgp@gmail.com.

* Pergeraq terletak di 218E Changi Road, #03-10 PKMS Building, Singapura 419737.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg