Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua ibu kongsi kasih sayang dengan masyarakat walau hadapi cabaran keluarga

Aug 30, 2025 | 8:07 PM
Cik Zarina Jaffar (kiri) dan Cik Radhiyah Mohamad Aris
Cik Zarina Jaffar (kiri) dan Cik Radhiyah Mohamad Aris masing-masing menerima Anugerah Ibu Teladan (EMA) dan Anugerah Ibu Teladan Muda (EYMA), daripada Jamiyah Singapura dalam satu majlis penyampaian di Swissotel The Stamford pada 30 Ogos. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Mereka masing-masing menghadapi cabaran sebagai ibu, namun kasih sayang dan keprihatinan dalam diri mereka begitu meluap-luap hingga ia dicurahkan kepada orang lain juga yang bukan keluarga.

Cik Zarina Jaffar, walaupun menjadi ibu tunggal dengan tiga anak kecil selepas kematian suaminya akibat kemalangan jalan raya pada 2008, tetap memperuntuk masa dan tenaga untuk menubuhkan kumpulan yang mengagihkan barangan terpakai seperti mesin cuci baju kepada keluarga memerlukan.

Kumpulan ‘3R Recycle Sharing is Caring’ mempunyai sekitar 15 relawan yang bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Cik Radhiyah Mohamad Aris pula ibu empat anak termasuk seorang anak berumur lapan tahun yang kurang upaya dan memerlukan penjagaan sepanjang masa.

Ketika anak keduanya itu dirawat di hospital selama beberapa minggu, beliau mendapat tahu tentang seorang kanak-kanak perempuan di hospital sama di bawah penjagaan perlindungan kerana ibu bapanya tidak dibenarkan menjaganya.

Cik Radhiyah dan suaminya menawarkan diri menjadi penjaga rasmi kanak-kanak berumur lima tahun itu dan kini telah hampir setahun menjaganya di rumah mereka.

Cik Zarina, 57 tahun, dan Cik Radhiyah, 36 tahun, masing-masing diiktiraf dengan Anugerah Ibu Teladan (EMA) dan Anugerah Ibu Teladan Muda (EYMA), oleh Jamiyah Singapura dalam satu majlis penyampaian di Swissotel The Stamford pada 30 Ogos.

Ini kali ke-32 EMA diberikan bagi mengiktiraf ibu yang telah menunjukkan ketabahan dalam mengharungi cabaran hidup.

Ini pula kali ketujuh EYMA diberikan kepada ibu di bawah umur 40 tahun bagi semangat keusahawanan, kerja keras, keazaman dan sumbangan mereka kepada masyarakat.

Menurut Cik Zarina, pengalaman membesarkan anak-anaknya seorang diri menjadi lebih mencabar dengan anak keduanya yang memberontak hingga pernah melanggar undang-undang.

Namun dengan bimbingan dan sokongannya, anaknya itu hari ini telah mendapatkan pekerjaan yang bermakna dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam pendidikan khas.

Anak-anaknya yang lain turut mencatatkan kejayaan dalam bidang akademik.

Cik Zarina berkata beliau sudah terbiasa melakukan kerja masyarakat sejak suaminya masih hidup, dan memutuskan meneruskan serta mengembangkan usahanya itu walaupun tanpa suami di sisi.

“Apabila kita melakukan kerja amal atau kerja kebajikan, kita akan rasakan yang masalah kita ini tak ada apa-apa dan masalah orang lain lebih besar dan berat daripada yang kita hadapi.

Jadi apa yang saya ada sebagai ibu tunggal, Allah swt tidak menyulitkan saya. Perjalanan hidup saya, walaupun dengan cabaran anak-anak, tetap saya rasa mudah dibandingkan dengan keluarga yang mempunyai cabaran yang lebih berat,” kata suri rumah itu.

Bagi Cik Radhiyah, beliau tidak sampai hati membiarkan seorang kanak-kanak perempuan tinggal di hospital sendirian dan memutuskan untuk menjaganya sementara penjagaan tetap untuk kanak-kanak itu diatur.

“Walaupun saya dan suami ada banyak yang perlu kami tanggung dan hadapi, kami rasa kami mampu menjaganya, bukan untuk selamanya tapi untuk sementara waktu,” kata pegawai kastam itu.

Penerima anugerah itu dipilih oleh panel juri seramai sembilan orang.

Penerima anugerah utama EMA menerima hadiah wang tunai sebanyak $6,000, perisai, plak dan sijil.

Penerima EYMA pula menerima $2,000, plak dan sijil.

Anugerah itu disampaikan oleh mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob.

“Anugerah ini memberi kita peluang meraikan ibu-ibu yang telah mengharungi pelbagai rintangan untuk mencapai yang terbaik untuk diri dan keluarga mereka. Mereka berdaya tahan, bijak dan tabah dalam mengejar matlamat mereka,” kata Puan Halimah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg