Orang ramai di Singapura berpeluang melihat dua kejadian fenomena ‘bulan raksasa’ atau supermoon pada Ogos.
Supermoon ialah bulan purnama yang mengelilingi pada jarak paling dekat dengan Bumi, menjadikannya kelihatan lebih besar dan lebih terang daripada biasa.
Supermoon pada Ogos – bulan sturgeon dan bulan biru – akan dapat dilihat di Singapura masing-masing pada 1 Ogos dan 31 Ogos, kata Balai Cerap Pusat Sains pada Selasa.
Bulan sturgeon adalah kedua daripada empat supermoon yang dilihat pada 2023, selepas bulan buck menghiasi langit malam pada 3 Julai.
Ia akan berada 357,581 kilometer dari Bumi pada jarak terdekatnya, menjadikannya supermoon kedua terdekat pada 2023.
Bulan biru dijangka menjadi supermoon paling terang dan paling dekat dengan Bumi pada 2023. Ia akan berada 357,182 kilometer dari Bumi pada jarak terdekatnya.
Orang asli Amerika menamakan bulan sturgeon sempena ikan sturgeon yang besar.
Semasa bulan sturgeon muncul, lebih banyak ikan ini dipercayai ditemui di Great Lakes dan kawasan air utama lain di Amerika Utara.
Bulan biru merujuk kepada bulan purnama kedua dalam tempoh sebulan yang mempunyai dua bulan purnama.
Kejadian dua bulan purnama dalam tempoh sebulan berlaku setiap dua hingga tiga tahun. Bulan biru terbaru dilihat pada 31 Oktober 2020.
Supermoon boleh dilihat dari mana-mana di Singapura selagi langit cerah dan menawarkan pemandangan yang tidak terhalang, kata Balai Cerap Pusat Sains.
Kawasan awam terbuka seperti Marina Barrage, Taman East Coast dan Southern Ridges boleh menawarkan pemandangan supermoon yang lebih baik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg