Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Ganding bahu hurai bersama isu iklim sebelum terlambat

Aug 13, 2023 | 05:30 AM



Kepada mereka yang mengikuti perbahasan mengenai perubahan iklim, perkembangan terkini tentu bukan satu kejutan.

Perubahan iklim di luar kawalan, dan kita telah mengetahui perkara ini bertahun-tahun. Kita tetap terkejut apabila bukti baru muncul di depan muka, namun kita terus mengabaikan semua amaran.

Tanggal 3 Julai merupakan hari paling panas pernah dirakamkan. Rekod itu kemudiannya dipecahkan pada 4 Julai dan sekali lagi pada 6 Julai.

Dunia telah menyaksikan tujuh hari paling panas berturut-turut. Jun 2023 merupakan bulan Jun paling panas dalam rekod, dan tahun itu akan menjadi tahun terpanas dirakamkan.

Bahagian selatan Amerika Syarikat dilanda kepanasan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk pada cuti Hari Kebangsaan 4 Julai lalu.


Canada mengalami kebakaran hutan yang teruk pada Jun sehingga asap toksik menjejas kawasan di seluruh Amerika.


Di India, bilik mayat dan hospital terjejas selepas suhu mencecah 45 darjah Celsius di beberapa kawasan. Sekurang-kurangnya 96 orang dilaporkan meninggal dunia akibat keadaan haba.


Di beberapa bahagian China, gelombang haba berterusan, dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius.


Suhu yang memecahkan rekod ini terjadi seperti mana yang telah diberi amaran oleh masyarakat iklim; dan ia bukanlah lonjakan yang tidak dijangka.

Selama empat dekad, para saintis seluruh dunia telah cuba memberi amaran kepada semua tentang kesan pembakaran bahan api fosil yang tidak terhingga.

Kami telah meramalkan gelombang haba yang melemahkan keadaan, kemarau yang memusnahkan dan paras air laut yang meningkat.

Kami telah mendekati media berkali-kali dan merayu penggubal dasar supaya mengurangkan penggunaan arang batu, minyak dan gas. Namun, umumnya, saintis seperti saya tidak diendahkan.

Sejak 1990, apabila Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan pertamanya mengenai pemanasan global, pengeluaran karbon dioksida telah meningkat sekitar 70 peratus.

MENANGGUHKAN ISU PENTING SECARA BERTERUSAN

Ramai penggubal dasar berfikir mereka mempunyai hal lebih penting yang perlu ditangani berbanding mengecapi matlamat sifar bersih. Sememangnya, kita berada di tengah-tengah perang Ukraine, dan baru setahun sejak sekatan pandemik Covid-19 dilonggarkan.

Penggubal dasar berpendapat bahawa tindakan untuk menangani kecemasan iklim boleh ditangguhkan ke hari lain apabila sains dan kuasa pasaran dapat mengemukakan huraian yang akan membolehkan kita semua menggunakan dan mengambil sebanyak yang kita suka tanpa memusnahkan planet ini.

Bagi mereka yang berkuasa, ‘godaan’ menangguhkan tindakan tetap kuat. Rancangan Perdana Menteri Britain, Encik Rishi Sunak, untuk menarik diri daripada ikrar 11.6 bilion pound ($20 bilion) kerajaannya untuk membantu negara miskin menangani perubahan iklim adalah satu contoh.

Namun, adalah silap untuk menganggap bahawa hanya ahli politik yang bersalah.

Ahli politik kita bertindak berdasarkan isyarat yang mereka dapat daripada orang ramai, dan mesej itu tidak sejelas yang diharapkan oleh mereka yang menggesa tindakan lebih drastik terhadap kecemasan iklim. Ia sebahagiannya disebabkan oleh krisis kos sara hidup, tetapi ia lebih mendalam daripada itu.

Di Singapura, contohnya, baru-baru ini terdapat lebih banyak permintaan, terutama di media sosial, bagi respons terhadap krisis tiket Taylor Swift dan bukannya krisis iklim.

Saya minat dengan bola sepak, tetapi ramai yang menyokong pasukan bola sepak yang ditaja oleh kepentingan bahan api fosil, dan peminat benar-benar tidak peduli jika bintang penyerang baru dibeli dengan wang minyak Timur Tengah asalkan pemain itu menjaringkan banyak gol.

Ancaman perubahan iklim yang wujud adalah nyata.

Saya mempunyai frasa – Jika anda tahu apa yang saya tahu tentang apa yang bumi mampu lakukan dalam iklim yang berubah-ubah, anda akan rasa sangat takut.

Penggubal dasar, saintis dan orang ramai kini mempunyai kemahuan untuk mencari huraian – sama ada dalam kejuruteraan, kewangan atau institusi – yang boleh dikemukakan untuk menyelesaikan isu kecemasan iklim.

Tiada negara, sama ada besar atau kecil, kaya atau miskin, akan terlindung daripada kesan perubahan iklim dan alam sekitar.

Kita sudah pun mengalami perkara ini di Singapura – kita melihat banjir pada hari-hari cerah, hujan lebat, angin dan suhu yang sangat tinggi.


Kadangkala, perkembangan yang tidak menjadi tajuk berita lebih membimbangkan. Di Antartika, suhu adalah 10 darjah Celsius hingga 20 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata yang dirakamkan dari 1979 hingga 2000.


Fikirkan itu – tempat yang dikatakan paling sejuk di planet ini berjemur dalam suhu yang biasa anda temui di latitud pertengahan bumi.


Yang mencemaskan, ia kelihatan seolah-olah keadaan akan menjadi lebih panas, sedang Pertubuhan Meteorologi Dunia meramalkan bahawa suhu global mungkin akan melonjak ke paras rekod dalam tempoh lima tahun akan datang. Bumi tidak pernah melihat suhu sedemikian sejak zaman geologi Eemian kira-kira 120,000 tahun lalu.

Tetapi saya tidak percaya planet ini ditakdirkan musnah dengan suhu dan paras laut yang sentiasa meningkat. Saya percaya ini adalah masalah yang disebabkan manusia, dan ia boleh diselesaikan oleh kita.

Kita perlukan teori ekonomi baru. Sudah tentu, kita tetap perlu berusaha untuk membasmi kemiskinan global dan meneruskan pertumbuhan ekonomi, tetapi kita mesti melakukan ini mengikut kemampuan sumber semula jadi yang terhad di planet ini.

Sebenarnya, individu yang berfantasi adalah mereka yang berpegang teguh pada kepercayaan bahawa kita boleh terus mengeksploitasi alam semula jadi untuk memuaskan keinginan kita.


Pada akhirnya, kemakmuran ekonomi akan bergantung kepada kesejahteraan manusia dan semula jadi. Untuk mencapai matlamat ini, kita mesti mengubah sistem tadbir urus, menjadikan ia sebuah sistem penjanaan semula dan pengedaran dan bukannya yang terhad dan bersikap ego.

Kita mesti bertindak segera.

Saya percaya ada perkara yang boleh jadi terlalu terlambat. Apabila ia berhubung perubahan iklim dan alam sekitar, masanya hampir tiba.


MASA SEMAKIN SUNTUK

Selepas 25 tahun berusaha untuk meningkatkan kesegeraan iklim, saya telah membuat kesimpulan bahawa orang ramai secara am, dan pemimpin dunia khususnya, memandang rendah betapa cepat, serius dan kerosakan iklim dan ekologi akan berlaku jika manusia gagal bertindak.

Mungkin hanya tinggal beberapa tahun lagi sebelum manusia menghabiskan baki “bajet karbon” untuk kekal di bawah 1.5 darjah Celsius pemanasan global pada kadar pelepasan karbon hari ini – tahap pemanasan yang saya tidak yakin akan serasi dengan tamadun yang kita ketahui.

Dan mungkin hanya ada lima hingga 10 tahun sebelum hutan hujan Amazon dan sebahagian besar lembaran ais Greenland dan Antartika melepasi titik perubahan yang tidak dapat dipulihkan, membawa kepada kenaikan paras air laut yang akhirnya akan membanjiri Singapura dan berpotensi menghapuskan negara ini daripada peta dunia.

Sistem bumi sedang rosak sekarang dengan kecepatan yang menakjubkan.

Untuk memaklumkan kepada orang ramai, saya berharap dapat berkongsi kisah iklim yang penting. Daripada berkongsi cerita yang akan mewujudkan jarak selesa daripada bahaya besar yang kita hadapi melalui pembaikan teknologi tidak realistik untuk senario bencana yang tidak realistik, manusia memerlukan cerita yang menyerlahkan pelbagai kemustahilan yang timbul daripada mengetahui secara kolektif perkara yang akan datang sementara secara kolektif gagal bertindak.

Kita memerlukan cerita yang menunjukkan manusia bertindak balas secara rasional terhadap krisis ini.

Kita perlukan cerita yang menunjukkan kejayaan.


Sebagai contoh, pada Jun 2023, Switzerland mengundi kepada undang-undang iklim baru yang akan menyaksikan negara itu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bersih kepada sifar menjelang 2050.


Manusia perlu berhadapan dengan industri bahan api fosil secara langsung, menerima bahawa kita perlu kurangkan penggunaan tenaga, dan beralih kepada mod kecemasan sepenuhnya. Rasa perpaduan dan kelegaan yang akan kita rasakan apabila ini berlaku akan mengubah keadaan bagi spesies kita.


Fakta yang lebih banyak dan lebih baik tidak akan memangkinkan titik perubahan sosiobudaya ini, tetapi cerita yang lebih banyak dan lebih baik mungkin dapat melakukan demikian.


Profesor Benjamin Horton ialah pengarah Observatori Bumi Singapura di Universiti Teknologi Nanyang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >