Pihak berkuasa menahan dua lelaki Singapura kerana disyaki melakukan kesalahan dadah dalam operasi yang dijalankan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 4 Jun.
Sebanyak 4.5 kilogram ganja dan 968 gram Ice dirampas, menurut CNB dalam satu kenyataan pada 6 Jun lapor akhbar The Straits Times.
Dadah itu dianggarkan bernilai kira-kira $692,000 dan dipercayai cukup untuk melepaskan ketagihan 1,200 penyalah guna dadah selama seminggu.
Operasi antidadah itu dijalankan di sekitar Chua Chu Kang Street 51, di mana pegawai CNB memintas sebuah kereta di sebuah tempat meletak kereta pada 4 Jun.
Mereka menahan seorang pemandu berusia 38 tahun dan seorang penumpang berusia 27 tahun.
Kededua lelaki itu enggan mematuhi arahan, sebaliknya bertindak ganas, tambah CNB.
Akibatnya, dua pegawai CNB dalam operasi itu mengalami kecederaan di lengan dan terpaksa menerima rawatan pesakit luar.
Semasa menggeledah kereta itu, selain ganja dan Ice, pegawai menemui 63 gram ketamin, 1,180 tablet Erimin-5, 1,170 gram Ecstasy dan juga 181 lysergic acid diethylamide (LSD).
“Kededua lelaki itu kemudian dibawa ke satu sudut di tempat meletak kereta itu di mana 50 tablet Erimin-5 ditemui,” kata CNB.
“Pengedar dadah hanya mengambil berat tentang mengaup keuntungan dan tidak akan berhenti untuk mendapatkannya, walaupun jika ia membawa bahaya kepada masyarakat dan mencederakan pegawai CNB yang sedang menjalankan tugas,” kata pengarah bahagian perisikan CNB, Timbalan Penolong Pesuruhjaya Aaron Tang.
Namun, menurut beliau, ia “tidak akan menghalang kami daripada menjalankan misi kami untuk menumpaskan mereka”.
“Malah, ini hanya akan mengukuhkan tekad kami... untuk bekerja keras membanteras kegiatan jahat mereka,” katanya.
Individu yang didapati bersalah mengedar lebih 250 gram methamphetamine atau 500 gram ganja menghadapi hukuman mati mandatori.
Siasatan tentang aktiviti dadah bagi suspek yang ditahan sedang dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg