Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua majikan tidak dapat mohon, perbaharui pas kerja petugas migran

Mereka terus ingkar bayar gaji sepatutnya meski MOM beri peringatan
Jun 6, 2024 | 4:27 PM
Pekerja runcit bergaji rendah telah dilindungi di bawah Model Gaji Progresif  (PWM), tangga gaji yang disandarkan kepada latihan dan penambahbaikan produktiviti, sejak September 2022.
Pekerja runcit bergaji rendah telah dilindungi di bawah Model Gaji Progresif (PWM), tangga gaji yang disandarkan kepada latihan dan penambahbaikan produktiviti, sejak September 2022. - Foto ZAOBAO

Dua majikan yang terus ingkar membayar gaji sepatutnya kepada pekerja runcit mereka, walaupun telah beberapa kali mendapat peringatan daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM), tidak akan dapat memohon atau memperbaharui pas kerja untuk pekerja migran sehingga mereka melunaskan kekurangan itu menurut laporan akhbar The Straits Times.

Kededua majikan itu mengendalikan kedai runcit dan didapati kurang membayar gaji sejumlah 12 pekerja runcit sebanyak kira-kira $450 sebulan setiap seorang sejak April 2023, kata MOM dalam satu kenyataan pada 6 Jun.

Majikan-majikan itu adalah di antara 4,100 syarikat perkhidmatan makanan dan runcit yang diperiksa kementerian itu dari April 2023 hingga Mac 2024.

Pemeriksaan itu dijalankan selepas tempoh enam bulan berjalan berikutan pengenalan Model Gaji Progresif (PWM) bagi setiap sektor.

Pekerja runcit bergaji rendah telah dilindungi di bawah PWM dengan tangga gaji yang disandarkan kepada latihan dan penambahbaikan produktiviti, sejak September 2022, dan sejak Mac 2023 untuk perkhidmatan makanan.

MOM berkata tempoh enam bulan yang diberikan kepada setiap sektor atau pekerjaan yang diperkenalkan PWM adalah untuk memberi majikan masa menyesuaikan diri dengan keperluan baru.

MOM berkata ini telah tamat untuk semua tujuh sektor dan dua pekerjaan yang kini meliputi model itu, yang merangkumi 155,000 pekerja lebih rendah.

Menurutnya, pemeriksaan dalam syarikat runcit dan makanan dijalankan kerana terdapat sejumlah besar pekerja sepenuh masa tempatan – 87,000 secara keseluruhan – dilindungi di bawah PWM dalam sektor tersebut.

“Kebanyakan majikan yang diperiksa mematuhi keperluan PWM. Ada yang tidak biasa dengan keperluan PWM dan awalnya tidak mematuhinya, tetapi membetulkan gaji selepas MOM menjelaskan keperluan itu,” kata MOM.

MOM menambah bahawa ia akan terus menjalankan semakan ke atas pematuhan PWM merentas sektor melalui pemeriksaan dan audit di tempat kerja yang memerlukan majikan memberikan dokumen pekerjaan untuk disemak.

Ia juga akan bekerjasama dengan gerakan buruh dan majikan, serta agensi awam yang menyelia sektor PWM, dan membantu majikan memenuhi keperluan PWM dalam membayar pekerja gaji yang betul.

Agensi awam tersebut ialah Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Pasukan Polis Singapura (SPF).

PWM mula bermula dengan sektor pembersihan pada September 2014 sebelum diperluaskan kepada sektor keselamatan dan landskap pada 2016.

Sektor penyelenggaraan lif dan tangga bergerak pula bermula pada Mei 2019, sebelum sektor runcit.

Model itu juga diperluaskan kepada pekerja pembersihan dalaman, keselamatan dan landskap pada September 2022.

Sejak itu, syarikat juga perlu membayar pekerja tempatan sekurang-kurangnya gaji layak sebelum mereka dibenarkan mengambil pekerja asing.

Gaji ini kini disandarkan pada kasar bulanan $1,400 untuk pekerja sepenuh masa dan sekurang-kurangnya $9 sejam untuk pekerja sambilan.

Ia akan meningkat kepada $1,600 sebulan untuk pekerja tempatan sepenuh masa dan $10.50 sejam untuk pekerja tempatan sambilan pada 1 Julai 2024.

“Kebanyakan majikan yang diperiksa mematuhi keperluan PWM (Model Gaji Progresif). Ada yang tidak biasa dengan keperluan PWM dan awalnya tidak mematuhinya, tetapi membetulkan gaji selepas MOM menjelaskan keperluan itu.”
Kenyataan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg