Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua MOU dimeterai tingkat kebajikan pekerja migran

Jun 23, 2024 | 6:40 PM
Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Desmond Tan (tengah), mencuba mengangkat besi di gimnasium baru Kelab Rekreasi Pusat Pekerja Migran pada 23 Jun.
Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Desmond Tan (tengah), mencuba mengangkat besi di gimnasium baru Kelab Rekreasi Pusat Pekerja Migran pada 23 Jun. - Foto ST

Pekerja migran kini boleh mendapat akses kepada kursus dalam talian secara eksklusif dan tiket wayang berdiskaun di Kelab Rekreasi Pusat Pekerja Migran (MWC) berikutan pemeteraian dua memorandum persefahaman (MOU).

MWC menandatangani MOU dengan Grow Education Ltd untuk menganjurkan kursus eksklusif bagi ahlinya di wadah pembelajaran dalam talian mereka, Grow Studio dalam satu majlis bersempena dengan Sambutan Hari Pekerja Migran NTUC pada 23 Jun di kelab rekreasi tersebut yang terletak di Soon Lee Road.

Wadah tersebut menawarkan rancangan pelajaran, kursus dan kuiz untuk semua pekerja asing bagi membolehkan pembelajaran berkesan.

Antara kursus yang disediakan termasuk kursus bahasa Inggeris.

Ia juga menandatangani MOU dengan Carnival Cinemas untuk menyediakan tiket filem berdiskaun pada harga $8.00, berbanding $16.00, untuk tiket yang dibeli antara Isnin dengan Khamis.

Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang juga Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan, yang merupakan tetamu terhormat bagi majlis sambutan itu berkata pekerja migran memainkan peranan penting dalam membentuk ekonomi dan masyarakat Singapura.

“Untuk menunjukkan keprihatinan dan komitmen kami untuk melindungi kepentingan dan kebajikan pekerja migran, NTUC dan MWC akan terus meningkatkan usaha untuk menangani keperluan dan kebimbangan pekerja migran kami dan menyediakan manfaat yang lebih baik bagi mereka.

“Satu contoh seperti hari ini ialah pemeteraian dua MOU, yang mana ahli MWC boleh mendapat manfaat daripada peningkatan kemahiran dan sokongan kebajikan yang lebih baik.

“Semakin Singapura terus maju, kita mahu pekerja migran berada di samping kita supaya tiada sesiapa yang ketinggalan,” kata Encik Tan.

Semasa berucap kepada kira-kira 26,000 pekerja migran, pemimpin kesatuan dan tetamu, Encik Tan juga menggalak pekerja migran supaya menjadi ahli MWC agar kesatuan boleh membantu mereka mendapat akses kepada insurans, perlindungan perubatan dan manfaat lain.

Antara manfaat lain yang diumumkan termasuk pelancaran gimnasium serba lengkap baru di Kelab Rekreasi MWC dengan kerjasama Persatuan Bina Badan dan Sukan Fizikal Singapura, yang boleh digunakan pekerja migran secara percuma.

Ia juga melancarkan Kelab Duta baru, khusus bagi duta pekerja migran berehat semasa hari cuti mereka atau jika mereka perlu berehat sebentar dari kerja.

Duta-duta ini adalah pekerja migran yang secara sukarela membantu rakan sebaya mereka, terutamanya pekerja migran yang baru tiba, untuk memahami undang-undang pekerjaan Singapura dan membantu mereka berintegrasi dengan baik ke dalam masyarakat.

Pengarah Eksekutif Pusat Pekerja Migran, Encik Michael Lim, berkata pelancaran kedua-dua wadah itu adalah sebahagian daripada usaha pusat itu meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat pekerja migran.

“Kelab Duta dan gim mahu menunjukkan komitmen kami dalam memupuk persekitaran yang menyokong dan memperkayakan semua pekerja migran.

“Kami komited untuk meningkatkan lagi sokongan dan akan terus memperjuangkan kepentingan dan kebajikan pekerja migran kita,” kata Encik Lim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg