Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua orang dibawa ke hospital dek kebakaran di flat Ghim Moh Link

Aug 16, 2023 | 4:45 PM
API MARAK: Satu kebakaran berlaku sekitar 7.35 pagi di sebuah flat tingkat 36 di Blok 28, Ghim Moh Link.
API MARAK: Satu kebakaran berlaku sekitar 7.35 pagi di sebuah flat tingkat 36 di Blok 28, Ghim Moh Link. - Foto FACEBOOK/CHRISTOPHER DE SOUZA

Dua individu dibawa ke hospital selepas satu kebakaran berlaku pada rabu pagi di sebuah flat di Ghim Moh.

Dalam kenyataannya di Facebook, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerima panggilan berkenaan kebakaran itu sekitar 7.35 pagi.

Apabila anggota bomba tiba di tempat kejadian di tingkat 36, Blok 28, Ghim Moh Link, seluruh unit flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) itu dijilat api, kata SCDF lagi.

TEMPAT KEJADIAN: Lori bomba dan kereta polis kelihatan berada di tempat kejadian di Ghim Moh Link pada pagi Rabu
TEMPAT KEJADIAN: Lori bomba dan kereta polis kelihatan berada di tempat kejadian di Ghim Moh Link pada pagi Rabu - Foto PEMBACA BH

Dua orang dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH), seorang akibat terhidu asap dan seorang lagi mengalami kecederaan ringan.

Polis juga memindahkan sekitar 60 penduduk lain dari blok terjejas itu sebagai langkah berjaga.

Akhbar harian bahasa Cina, Shin Min melaporkan bahawa flat itu didiami keluarga lima beranak.

SCDF berkata anggota bomba dari Balai Bomba Clementi dan Alexandra memadamkan api tersebut dengan menggunakan dua jet air.

Dalam beberapa video dan gambar dimuat naik pengguna Facebook bernama GF Pat, flat di tingkat tinggi itu kelihatan terbakar sepenuhnya dengan api yang marak serta asap hitam yang tebal kelihatan keluar daripada tingkap flat tersebut dan menjejas unit di atas.

Jeriji flat itu juga kelihatan musnah dan beberapa gambar lain menunjukkan serpihan kaca - dipercayai berpunca daripada tingkap yang musnah di flat itu – bersepah di lantai tanah blok terjejas itu.

Anggota Parlimen (AP)Encik Christopher de Souza (GRC Holland-Bukit Timah) dalam catatannya menyatakan beliau telah berkunjung ke tempat kejadian.

Dalam posnya di Facebook, beliau berkata:

“Saya telah bertemu dengan keluarga (terjejas) dan jiran-jiran. Syukur semua baik-baik sahaja kecuali seorang anggota keluarga yang sedang beransur pulih kerana terhidu asap.”

Encik de Souza berkata beliau akan bekerjasama dengan HDB untuk melihat bagaimana keluarga itu dapat dibantu dan ditawar tempat penginapan sementara kerja pembaikan semula ke atas flat yang musnah itu dijalankan.

Punca kebakaran masih sedang disiasat, kata SCDF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg