Sementara seluruh Singapura menyambut ulang tahun negara ini pada tanggal 9 Ogos, ada dalam kalangan rakyat Singapura meraikannya dengan lebih bermakna.
Dalam detik yang mendebar tetapi menggembirakan, dua pasangan suami isteri menyambut kelahiran cahaya mata mereka pada hari yang sama.
Bagi pasangan Encik Muhammad Zulhimi Abdul Rahman, dan Cik Siti Aisyah Adnan, mereka menyambut kelahiran anak kedua mereka sekitar jam 12.35 pagi.
Cik Siti Aisyah, 30 tahun, selamat melahirkan anak perempuan seberat 3.246 kilogram di Hospital Universiti Nasional (NUH), menjadikan anak pasangan tersebut antara bayi pertama dilahirkan di NUH sempena Hari Kebangsaan Singapura ke-60.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM) pada 9 Ogos, Encik Muhammad Zulhilmi, 31 tahun, meluahkan rasa gembira dan lega kerana kedua-dua ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat.
“Alhamdulillah, kami dikurniakan anak perempuan yang kedua.
“Kami tidak terlalu memikirkan tentang proses kelahiran.
“Kami hanya mahu menimang cahaya mata kedua. Kami tidak memilih jantina. Apabila kami dapat tahu ia anak perempuan, kami sangat gembira,” kongsi beliau, yang bekerja di syarikat perakaunan.
Encik Muhammad Zulhilmi dan isterinya berkata mereka telah menjalani pemeriksaan kehamilan sebulan sekali dan kemudian mengerapkan sesi tersebut kepada seminggu sekali, dua bulan sebelum tarikh jangkaan bersalin (EDD) iaitu pada 8 Ogos.
Dengan harapan untuk menepati tarikh tersebut, mereka pergi ke NUH untuk pemeriksaan namun belum tiba masanya lagi.
“Kami sampai di hospital sekitar 9 pagi dan selepas dua jam di wad bersalin, jururawat kata kontraksi masih dianggap ringan dan kami boleh balik dulu,” ujar Encik Zulhilmi.
Apabila mereka di rumah, Cik Siti Aisyah mula mengalami kontraksi yang lebih kerap bermula 2 petang dan disarankan untuk ke hospital.
Beliau berkata mereka tiba di hospital sekitar 5 petang pada 8 Ogos dan menunggu lebih 7 jam sebelum mengalami kontraksi lagi selepas tengah malam 9 Ogos.
“Alhamdulillah, syukur saya dapat menjalani proses bersalin dengan lancar.
“Jika dibandingkan dengan kehamilan pertama saya, proses bersalin kali ini lebih singkat.
“Untuk kehamilan pertama, saya mengambil masa hampir 12 jam di wad bersalin berbanding untuk kali ini, kurang dari 12 jam.
“Saya sangat bersyukur,” kongsi Cik Siti Aisyah.
Mengenang tarikh kelahiran anak perempuannya, Encik Muhammad Zulhilmi berseloroh bahawa mereka “tiada alasan untuk terlupa” mengenai tarikh lahir anak perempuan mereka.
Dalam pada itu, Cik Norshahidah Mohd Salleh, 33 tahun dan suaminya, Encik Muhammad Hanif Ramli, 32 tahun, turut menimang ‘bayi Hari Kebangsaan’.
Ketika dihubungi BM, Cik Norshahidah berkongsi bahawa beliau selamat melahirkan anak lelaki seberat 3.19 kilogram secara semula jadi pada 4.48 pagi di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH).
Ini merupakan anak kedua mereka.
Menyifatkan kelahiran anak lelaki mereka pada hari tersebut sebagai tidak dijangkakan, beliau berkata ia merupakan detik yang sangat bermakna dalam memulakan lembaran baru sebagai sebuah keluarga.
“Bayi kami dijangka lahir pada 15 Ogos, jadi kami tidak menjangka dia akan dilahirkan pada Hari Kebangsaan.
“Kelahirannya sangat bermakna bagi kami kerana menandakan permulaan perjalanan baru kami sekeluarga,” ujar suri rumah itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg