Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terhutang budi kepada rakyat S’pura, peniaga M’sia reka kemeja-T SG60

Mantan pengurus di restoran makanan segera di S’pura lalui susah payah bangun niaga selepas pulang ke Johor susulan Covid-19
Aug 8, 2025 | 11:34 PM
Pemilik Joyy Colony Empire, Encik Afiq Abd Latif, menjual baju jenamanya sendiri dengan tema Singapura seperti Lion City dan Temasek. 
Pemilik Joyy Colony Empire, Encik Afiq Abd Latif, menjual baju jenamanya sendiri dengan tema Singapura seperti Lion City dan Temasek.  - Foto ihsan AFIQ ABD LATIF

Selepas sedekad mencari rezeki di Singapura, rakyat Malaysia, Encik Afiq Abd Latif, pulang ke Johor Bahru pada 2023 selepas Covid-19 untuk membuka lembaran baru.

Namun, peralihan itu bukanlah mudah.

Setelah terpaksa keluar dari rumah sewanya, Encik Afiq, kini 31 tahun, bersama isterinya, Cik Nurefira Nasha Ashimi, juga 31 tahun, dan anak sulung mereka, Aulian Anaqi, tiga tahun, menginap di kedai kecilnya yang bersaiz studio.

Pasangan ini kini mempunyai seorang lagi cahaya mata, Ayish Anaqi, setahun.

Kedai tersebut asalnya digunakan untuk menjual kemeja-T dan topi.

Selama enam bulan, ruang kecil itu menjadi rumah, pejabat, dan ruang kreatifnya.

Dari situ, beliau mula menjual kemeja-T Johor Darul Takzim (JDT), hasil rekaannya sendiri melalui sesi TikTok Live selama empat hari.

Sokongan luar biasa pelanggan Singapura melonjakkan jualannya sehingga 700 helai kemeja-T terjual dalam tempoh tersebut, menjadi titik tolak bagi lembaran baru hidupnya.

Sebagai tanda penghargaan kepada sokongan rakyat Singapura selama ini, Encik Afiq, atau lebih mesra dikenali sebagai Joyy, kini tampil melancarkan rekaan baju istimewa sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura (SG60).

Kemeja-T istimewa oleh Joyy Colony Empire sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura (SG60).
Kemeja-T istimewa oleh Joyy Colony Empire sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura (SG60). - Foto AFIQ ABD LATIF
Kemeja-T istimewa oleh Joyy Colony Empire sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura (SG60).
Kemeja-T istimewa oleh Joyy Colony Empire sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura (SG60). - Foto AFIQ ABD LATIF

Dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH), pemilik kedai Joyy Colony Empire di Larkin, Johor Bahru itu, terhutang budi dengan sokongan rakyat Singapura selama ini.

“Walaupun saya orang Malaysia dan bukan jenama tempatan, mereka (rakyat Singapura) tetap setia menyokong perniagaan saya dari awal hingga sekarang.

“Memandangkan Hari Kebangsaan ialah detik yang sangat bermakna dan bersejarah bagi rakyat Singapura, maka apa salahnya kalau saya hasilkan baju khas untuk meraikan kenangan penting lagi bersejarah itu?” ujar bapa dua anak lelaki berusia tiga dan satu tahun itu.

Encik Afiq menjual baju jenamanya sendiri bertemakan Singapura seperti Lion City dan Temasek sejak Jun 2023, selain menawarkan khidmat mereka kemeja-T khas atau ‘customised’ untuk acara hari keluarga, kumpulan motosikal, kereta, dan syarikat.

Kemeja-T bertemakan Singapura pertama daripada Joyy Colony Empire.
Kemeja-T bertemakan Singapura pertama daripada Joyy Colony Empire. - Foto AFIQ ABD LATIF
Joyy Colony Empire menjual kemeja-T dengan jenama sendiri bertemakan Singapura seperti Lion City dan Temasek.
Joyy Colony Empire menjual kemeja-T dengan jenama sendiri bertemakan Singapura seperti Lion City dan Temasek. - Foto AFIQ ABD LATIF
Joyy Colony Empire menjual kemeja-T dengan jenama sendiri bertemakan Singapura seperti Lion City dan Temasek.
Joyy Colony Empire menjual kemeja-T dengan jenama sendiri bertemakan Singapura seperti Lion City dan Temasek. - Foto AFIQ ABD LATIF

Sebelum berniaga, Encik Afiq sering membuat kandungan di TikTok yang menceritakan mengenai pengalamannya bekerja di Singapura, yang menarik ramai pengikut dari sini.

Menyingkap perjalanan awal perniagannya, Encik Afiq berkata:

“Saya mula menjual kemeja-T, termasuk kemeja-T JDT dan ‘Cinta Buatan Malaysia’, yang saya reka sendiri.

“Semasa memasarkan baju tersebut melalui sesi ‘Live’, saya dapati semua pembeli saya kebanyakannya dari Singapura.

“Maka, saya mengambil inisiatif menghasilkan rekaan baju bertemakan Temasek dan Singapura sebagai penghargaan kepada pelanggan di sana.”

Namun, perjalanannya membina ‘empayar’ penjualan kemeja-T ini bukanlah mudah

Mula bekerja di Singapura pada 2013 sebagai seorang kru di restoran makanan segera, McDonald’s, beliau mendaki tangga kerjaya hingga menjadi pengurus di salah satu cawangan tersebut di sini.

Sepanjang 10 tahun itu, anak sulungnya juga dilahirkan di Singapura.

Lebih memilukan, beliau dan isteri, Cik Nurefira Nasha, yang turut bekerja di sini dari 2022 hingga 2023 sebagai kru restoran makanan segera itu, awalnya mendapat berita daripada doktor bahawa anak sulung mereka berkemungkinan menghidap Sindrom Down, ketika berusia enam bulan dalam kandungan.

Ia seperti tamparan hebat untuk pasangan itu terutamanya setelah menanti cahaya mata selama lima tahun.

Namun, bak kata pepatah condong ditumpil, lemah dianduh, pengikut Singapura tampil memberi sokongan kepada Encik Afiq selepas mengetahui mengenai situasinya yang dalam kesulitan.

“Ada empat atau lima orang datang ke tempat kerja dan berjumpa saya di samping memberi kata-kata semangat termasuk ibu bapa yang mempunyai anak Sindrom Down.

“Bukan orang Melayu sahaja, namun terdapat seorang warga India yang beri dorongan untuk saya meneruskan perjuangan.

“Malah, ada yang datang ingin beri pertolongan kewangan,” katanya.

Aulian Anaqi, akhirnya dilahirkan normal, suatu kesyukuran buat Encik Afiq sekeluarga.

Namun, dia mudah mengalami sawan ketika membesar, mengakibatkan Encik Afiq perlu mengeluarkan wang yang banyak bagi menangani keadaannya.

Pemilik Joyy Colony Empire, Encik Afiq Abd Latif (dua dari kiri) bersama isterinya, Cik Nurefira Nasha Ashimi (tiga dari kiri); anak sulung mereka Aulian Anaqi Afiq (dua dari kanan) dan dua kakitangan mereka di acara Celebfest 2025.
Pemilik Joyy Colony Empire, Encik Afiq Abd Latif (dua dari kiri) bersama isterinya, Cik Nurefira Nasha Ashimi (tiga dari kiri); anak sulung mereka Aulian Anaqi Afiq (dua dari kanan) dan dua kakitangan mereka di acara Celebfest 2025. - Foto ihsan oleh AFIQ ABD LATIF

Selepas pulang ke Johor Bahru pada Mac 2023, keluarga tiga beranak itu terpaksa keluar dari rumah sewa mereka.

Sementara menunggu rumah baru siap, mereka menginap di kedai kecil Encik Afiq, yang asalnya digunakan untuk menjual kemeja-T.

Dengan sokongan teguh isterinya, beliau mula menjual kemeja-T melalui TikTok Live selama empat hari.

Disebabkan pengikutnya yang ramai dari Singapura dan pemasaran mulut ke mulut, jualannya merentasi sempadan dengan jayanya.

“Yang memberi rezeki itu ialah Allah dan perantaraannya sokongan orang Singapura.

“Live selama empat hari itu menjadi pencetus kepada penubuhan Joyy Colony Empire,” katanya.

Selain jualan dalam talian, Encik Afiq pernah membuka reruai di Singapura melalui acara dagangan seperti Twilight Fest dan Celebfest.

Kali pertama beliau membuka reruai di sini apabila jenama tempatan, Sangka Baek, memanggilnya untuk sertai mereka pada acara Twilight Fest pada Julai 2023, lantas meluaskan lagi rangkaiannya dengan masyarakat Singapura.

Memandang ke hadapan, Encik Afiq merancang untuk membuka kafe berkonsepkan Eropah di Johor Bahru pada awal 2026, yang juga akan menjual koleksi kemeja-T dan menjadi ruang santai pelanggan.

Bagi yang berminat, baju SG60 boleh didapati melalui Instagram Joyy Colony Empire dengan harga $50 termasuk penghantaran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg