Seorang jurutera tempatan yang bertugas di tapak binaan dan seorang pekerja binaan warga Bangladesh meninggal dunia pada 17 September selepas terhentak jentera berat di tapak kerja Koridor Utara-Selatan di Lentor Avenue.
Pekerja warga Bangladesh berusia 39 tahun itu, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), manakala jurutera berumur 38 tahun itu, tidak sedarkan diri ketika dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat dan meninggal dunia akibat kecederaannya.
Dua lagi pekerja turut dibawa ke hospital yang sama selepas kemalangan sekitar 1.20 petang itu.
Mereka cedera ringan dan telah dibenarkan pulang, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Menurut LTA, keempat-empat pekerja itu sedang memasang gelendong takal (winch drum) yang diletak pada dua blok konkrit apabila takal itu, yang biasanya digunakan untuk mengangkat bahan berat, tergelincir dari blok tersebut dan menghentak mereka.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata sebagai langkah keselamatan, jentera atau struktur berat mesti diletak secara mantap untuk mengurangkan risiko tergelincir atau tumbang.
Menurut MOM, empat pekerja itu digajikan oleh VSL Singapore, anak syarikat tempatan kontraktor pakar Switzerland, VSL.
Kontraktor utama tapak kerja Lentor Avenue ialah firma Korea Selatan Ssangyong Engineering and Construction.
LTA berkata ia amat sedih mengenai kemalangan itu dan sedang bekerjasama dengan kedua-dua syarikat untuk membantu keluarga pekerja yang meninggal dunia.
Ia turut membantu polis dan MOM dalam siasatan berhubung kejadian itu.
Menurut laman web Ssangyong, projek itu diiktiraf pada 2021 oleh Majlis Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja kerana mempunyai prestasi keselamatan dan kesihatan baik serta sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
LTA telah mengarahkan pemberhentian kerja untuk menyemak prosedur keselamatan berkaitan pembinaan segmen jejambat Koridor Utara-Selatan.
Dengan kejadian terbaru itu, sekurang-kurangnya enam pekerja kini telah meninggal dunia akibat kemalangan di tapak kerja LTA dalam tempoh lebih setahun.
Kemalangan pada 17 September itu adalah yang kedua berlaku di tapak pembinaan Koridor Utara-Selatan.
Menurut laporan media lalu, sekurang-kurangnya 11 orang maut dalam kemalangan di tempat kerja di sini pada 2024 setakat ini.
Sebagai perbandingan, 36 pekerja meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerja di Singapura pada 2023, 46 pada 2022; 37 pada 2021; 30 pada 2020; dan 39 pada 2019.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg