Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua rumah jagaan hilang lesen, MOH jelaskan sistem kawal selia
Dua rumah jagaan hilang lesen, MOH jelaskan sistem kawal selia
Dua rumah jagaan hilang lesen, MOH jelaskan sistem kawal selia
Walaupun pemeriksaan mengejut penting bagi memastikan rumah jagaan mengambil tindakan pembetulan dan mengekalkan peningkatan, Menteri Negara Kanan (Kesihatan), Encik Tan Kiat How, berkata adalah mustahil untuk “menghapuskan dan mengelakkan kelemahan daripada berulang” sepenuhnya.
Berucap di Parlimen pada 7 Julai, Encik Tan berkata Kementerian Kesihatan (MOH) menjalankan audit secara tetap, semakan tematik khas dan pemeriksaan ke atas rumah jagaan sebagai sebahagian daripada pengawasan kawal selianya.
Ini termasuk audit di luar jadual susulan maklum balas dan aduan bagi memastikan keselamatan penghuni. Pendekatan ini memastikan kelemahan dikenal pasti dan diperbetulkan dengan segera, jelasnya.
Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) bertanya sama ada rangka kerja kawal selia akan diperkukuh bagi mengelakkan kelemahan menyeluruh seperti di Rumah Jagaan Windsor daripada berulang.
Encik Tan berkata kebanyakan rumah jagaan di bawah pemantauan rapi mengambil tindakan pembetulan yang mencukupi.
Namun, jika kelemahan besar terus berulang tanpa usaha membaikinya, seperti melibatkan Rumah Jagaan Windsor dan Rumah Rawatan LC, MOH akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan, termasuk membatalkan lesen.
“Oleh itu, kedua-dua pembatalan lesen ini membuktikan bahawa kerangka kawal selia berfungsi sebagaimana yang sepatutnya,” tambahnya.
Setahun selepas membetulkan pelanggaran terdahulu, Rumah Jagaan Windsor sekali lagi didapati melanggar peraturan dalam audit April.
Lesennya dibatalkan kerana kelemahan besar, termasuk kegagalan memastikan kawalan jangkitan, dan diberi empat bulan untuk memindahkan penghuni ke rumah jagaan lain.
Rumah Rawatan LC pula didapati mempunyai “kelemahan besar dan sistemik” dalam mematuhi Akta Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HCSA).
Encik Tan berkata kedua-dua pembatalan lesen itu susulan audit tematik yang menilai amalan pencegahan jangkitan serta penjagaan asas di rumah jagaan berisiko tinggi.
Audit itu memberi tumpuan kepada pematuhan amalan pencegahan dan kawalan jangkitan serta penjagaan asas dan kejururawatan bagi pengendali berisiko tinggi.
“Selepas kelemahan dikenal pasti, pengendali diberi peluang untuk memperbetulkannya, sementara kami mempertingkatkan pemantauan dan penglibatan dengan mereka.
“Apabila kami mendapati usaha pemulihan kedua-dua pengendali itu tidak mencukupi atau gagal dikekalkan, kami membatalkan lesen mereka dan mengatur agar Vanguard Healthcare mengambil alih,” katanya.
MOH dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) akan berkongsi hasil dapatan audit, latihan tenaga kerja dan sokongan geran dengan sektor rumah jagaan bagi mengekalkan piawaian penjagaan.
Mengenai tuntutan dan pampasan, Encik Tan berkata kerangka kawal selia MOH memastikan pematuhan terhadap HCSA, namun MOH tidak dapat menyelaraskan tuntutan penghuni atau keluarga mereka terhadap rumah jagaan.
