Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua wajah baru dipilih dalam anggota jawatankuasa eksekutif baru LBKM

Dr Syed Harun Taha Alhabsyi terus menerajui selaku Presiden LBKM
Jun 22, 2024 | 7:41 PM
Naib Presiden II Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, adalah antara 11 anggota jawatankuasa yang dipilih semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43 LBKM pada 22 Jun.
Naib Presiden II Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, adalah antara 11 anggota jawatankuasa yang dipilih semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43 LBKM pada 22 Jun. - Foto fail

Dua wajah baru telah dipilih untuk menganggotai jawatankuasa eksekutif baru Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) berikutan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43, yang diadakan pada 22 Jun.

Kedua-dua wanita itu ialah Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, Naib Presiden II Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) yang juga Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dan Cik Nurhazimah Abdul Halim, Timbalan Ketua Setiausaha Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS). 

Mereka adalah di antara 11 anggota jawatankuasa eksekutif yang dipilih untuk berkhidmat bagi penggal khidmat 2024 hingga 2026.

Anggota lain dalam jawatankuasa itu termasuk Encik Muhammad Hafiz Noorahman dari Perdaus, Ustazah Dr Siti Nur Alaniah Abdul Wahid dari Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), serta peguam, Encik Abdul Rohim Sarip.

Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, yang menerajui persatuan itu selaku Presiden, melahirkan harapan agar latar belakang dan bidang minat baru yang berpelbagai akan memberi nilai tambah kepada LBKM pada masa hadapan.

Dalam ucapan beliau semasa AGM yang diadakan di Hotel Furama City Centre, Dr Syed Harun menekankan bahawa LBKM memberi tumpuan kepada usaha “mengukuhkan sokongan untuk pelajar dan memenuhi keperluan mereka dengan lebih baik dalam landskap pendidikan yang sentiasa berubah.”

Selain itu, LBKM juga ingin terus “mengukuhkan perkongsian dengan pertubuhan dalam ruang masyarakat Melayu/Islam dan di peringkat nasional, untuk impak dan manfaat yang lebih baik bagi masyarakat”.

LBKM turut mengekalkan standard tadbir urus yang tinggi dalam kerja sebagai badan amal untuk mengukuhkan lagi keyakinan terhadap penderma serta pemegang kepentingan mereka, tambah Dr Syed Harun.

Dengan barisan anggota jawatankuasa baru itu, beliau berharap LBKM akan terus berusaha untuk membantu memenuhi keperluan pelajar dan menunaikan amanah penderma mereka. 

Apabila dihubungi Berita Minggu (BM) untuk mengulas tentang dua anggota baru itu, Dr Syed Harun yakin dengan pengalaman mereka yang luas, mereka akan memberi nilai tambahan kepada persatuan itu.

“Dr Razwana berasal daripada latar belakang perkhidmatan sosial dan sektor pendidikan peringkat tinggi dalam tugasnya di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), manakala Cik Nurhazimah merupakan seorang pendidik dan merupakan wakil institusi dari KGMS.

“Kepelbagaian dan kepakaran jawatankuasa ini memperkukuh kepimpinan LBKM dan melengkapkan kami untuk melakukan dengan lebih baik untuk pelajar dan pihak berkepentingan dalam dua tahun akan datang dan seterusnya, insya-Allah,” ujar beliau.

Peranan bagi para anggota jawatankuasa baru itu akan disahkan pada 28 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg