Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua warga S’pura terlibat jual sistem sonar haram yang berakhir dengan Tentera Laut Myanmar

Aug 28, 2023 | 5:53 PM
DIDAKWA: Poiter Agus Kentjana (kiri) dan Wui Ong Chuan mengaku bersalah atas satu pertuduhan menipu dan satu pertuduhan di bawah Akta Barangan Strategik (Kawalan).
DIDAKWA: Poiter Agus Kentjana (kiri) dan Wui Ong Chuan mengaku bersalah atas satu pertuduhan menipu dan satu pertuduhan di bawah Akta Barangan Strategik (Kawalan). - Foto ST

Dua warga Singapura yang menjual sistem sonar yang berakhir dengan pusat tinjauan kendalian Tentera Laut Myanmar, mengaku di mahkamah pada 25 Ogos melanggar undang-undang yang mengawal penjualan barangan strategik termasuk senjata.

Dua lelaki itu – Poiter Agus Kentjana, seorang pengurus jualan di Hydronav Services, 57 tahun, dan Wui Ong Chuan, salah seorang pengarah firma itu – pada Jumaat mengaku bersalah atas satu pertuduhan menipu dan satu pertuduhan di bawah Akta Barangan Strategik (Kawalan).

Hydronav, yang diwakili oleh Wui, mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Akta tersebut.

Wui, 70 tahun, merupakan satu-satunya pengarah yang terlibat dalam operasi import dan eksport firma itu, lapor The Straits Times.

Kes itu melibatkan sistem bunyi gema untuk pemetaan dasar laut yang dijual kepada entiti Myanmar, Light of Universe, dengan harga AS$1.58 juta (sekitar $2 juta).

Pengguna akhir ialah Pusat Hidrografi Tentera Laut Myanmar, yang menjalankan kegiatan tinjauan hidrografi di perairan Myanmar.

Timbalan Pendakwa Raya Magdalene Huang berkata alat pemetaan dasar laut itu terdiri daripada dua sub-sistem, kedua-duanya dinyatakan dalam Jadual Perintah Barangan Strategik (Kawalan) 2017, yang bermakna ia tertakluk kepada kawalan di bawah Akta tersebut.

Poiter dan Wui dikatakan terlibat dalam konspirasi untuk menipu firma Norway Kongsberg Maritime, penjual sistem itu, untuk mempercayai bahawa syarikat Indonesia Bina Nusantara Perkasa akan menjadi pengguna akhirnya.

Poiter, yang bertanggungjawab ke atas jualan sistem itu, telah merangka rancangan untuk menyenaraikan syarikat Indonesia sebagai pengguna akhir untuk memperdaya pihak berkuasa Norway supaya meluluskan eksport sistem itu dari negara Nordik.

Pihak berkuasa Norway sebelum ini menolak dua permohonan apabila Pusat Hidrografi Tentera Laut Myanmar disenaraikan sebagai pengguna akhir.

Pihak berkuasa dimaklumkan apabila Kastam Singapura menerima aduan yang mendakwa eksport sistem itu oleh Hydronav dari Singapura ke Myanmar dilakukan tanpa permit yang diperlukan.

Siasatan telah dilancarkan dan premis Hydronav diserbu pada 15 Oktober 2020, dengan pihak berkuasa merampas peranti dan dokumen digital.

Hukuman terhadap Poiter dan Wui serta syarikat itu dijangka diputuskan pada September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg