Semasa Encik Abdullah Zainal bergelut dengan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’, beliau telah ‘diselamatkan’ oleh salah seorang gurunya yang membantu beliau memperbaiki prestasi pelajarannya hingga berjaya menjadi pelajar terbaik dalam kelas.
Dedikasi dan komitmen gurunya itu meninggalkan kesan mendalam serta memupuk minat Encik Abdullah untuk menyumbang tenaga sebagai guru dan mentor sukarela apabila beliau melangkah ke politeknik.
Penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Singapura (SP) berumur 21 tahun itu yang baru menamatkan pengajian, kini berharap dapat membawa minatnya lebih jauh dan bercita-cita menjadi seorang profesor.
Encik Abdullah yang merupakan antara lebih 5,000 penuntut SP, telah menerima anugerah Pingat Emas Low Guan Onn – iaitu anugerah yang mengiktiraf pelajar cemerlang.
Anugerah iru merupakan salah satu daripada enam anugerah yang ditawarkan SP.
Ia diberikan setiap tahun kepada pelajar tahun akhir terbaik dalam semua kursus peringkat diploma di SP.
Pelajar turut menerima hadiah wang tunai bernilai $900.
Berkongsi lebih lanjut tentang perjalanan akademiknya, bekas pelajar Sekolah Menengah Dunman itu berkata beliau sering mengambil ringan tentang pelajaran semasa di bangku sekolah menengah sehinggalah beliau berdepan dengan peperiksaan GCE Peringkat ‘N’.
“Setiap minggu, guru Bahasa Inggeris di sekolah menengah saya akan adakan rundingan bersama saya dan rakan.
“Tidak pernah sesekali dia menolak permintaan kami dan tolong menyemak esei tambahan yang saya lakukan setiap minggu,” kata anak kelima enam adik beradik itu.
Hasil keputusan yang baik, Encik Abdullah diterima masuk dalam Program Asas Politeknik (PFP), dan seterusnya menyambung pelajarannya dengan mengambil diploma jurusan Kejuruteraan Mekanikal di SP.
Di politeknik, beliau menyertai Kelab Pementoran SP, yang memberinya peluang untuk mengajar kanak-kanak di Sekolah Rendah New Town.
Selain itu, beliau mula memberi perkhidmatan tuisyen kepada pelajar lebih muda dalam jurusan yang sama.
“Pernah sekali saya menerima satu lipatan kertas origami oleh seorang menti yang mengandungi tulisan “mentor kegemaran saya” yang terpapar di hadapan membuat saya tersentuh,” ujar Encik Abdullah
Menurut Encik Abdullah, sokongan rakannya telah banyak mendorong beliau dalam pelajarannya.
Apatah lagi ketika beliau terlalu memburu kejayaan sehingga ia mula memakan dirinya.
“Saya terlalu fokus mahu jadi pelajar terbaik sehinggakan ia menjejas saya, akibatnya gred saya mula merosot dan kesihatan mental saya terjejas,” kata beliau.
Berkat dorongan keluarga dan rakan-rakan, Encik Abdullah mengubah sikapnya dan mencari keseimbangan dalam pelajaran dan persekolahan.
Memandang ke hadapan, beliau yang kini merupakan penerima biasiswa di bawah Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), berharap dapat meneruskan pelajarannya dan mencapai matlamatnya menjadi seorang profesor.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg