Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terus gigih bertanding walau hadapi cabaran demi bina kerjaya

Kurang pengalaman, keperluan sertai pertandingan bersendirian tidak jadi hambatan  
May 13, 2025 | 5:30 AM
 Wan Julita Alyssa Wan Ismail, wordskills singapore
Cik Wan Julita Alyssa Wan Ismail telah menyertai WorldSkills Singapore (WSS) 2025 buat kali pertama, tetapi muncul sebagai pemenang pingat emas bagi kategori Penyambut Tamu Hotel. - Foto WORLDSKILLS SINGAPORE

Berkhidmat kepada tetamu hotel, memahami keperluan mereka, dan bersikap empati merupakan perkara paling penting bagi Cik Wan Julita Alyssa Wan Ismail, 21 tahun. 

Pelajar Diploma jurusan Pengurusan Hotel dan Layanan Tamu di Politeknik Republic (RP), dalam tahun kedua, Cik Julita telah membuktikan kemahirannya apabila beliau berjaya memperolehi pingat emas dalam pertandingan WorldSkills Singapore (WSS) 2025 bagi kategori Penyambut Tamu Hotel. 

WSS 2025 diadakan antara 3 dengan 5 April di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands dan telah menyaksikan jumlah peserta terbesar dan merangkumi lebih 26 bidang kemahiran bagi pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik. 

Selain merupakan pertandingan pertama baginya, anak keempat tujuh beradik itu juga telah menyertai pertandingan tersebut bersendirian. 

Namun pengalaman bekerjasama dengan belia lain yang juga mempunyai minat serupa telah membolehkan Cik Julita mendapatkan ramai rakan baru. 

“Sejak saya di ITE, saya sudah tahu saya ingin mengikuti jurusan Hotel dan Layanan Tamu,” kata Cik Julita, yang mempunyai kelulusan Nitec dan Nitec Lanjutan ITE dalam jurusan Operasi Layanan Tamu. 

Cik Julita dicalonkan oleh jurulatih kerjayanya untuk mengambil bahagian dalam pertandingan WSS itu kerana kehebatan potensinya. 

Namun, perasaan bimbang menyeliputi dirinya disebabkan kurangnya pengalaman bertanding. 

Setiap peserta harus melalui latihan selama enam bulan sebelum hari persembahan, untuk menyediakan diri dan memperbaiki kemahiran masing-masing. 

“Separuh jalan, saya mula menyoal diri saya sendiri, dan timbul keraguan tentang komitmen saya terhadap pertandingan ini,” kata Cik Julita. 

Meskipun Cik Julita menghadapi cabaran kerana keseorangan dalam pertandingan WSS itu, beliau tetap bersikap teguh dan terus berusaha sehingga ke akhirnya. 

Bimbingan jurulatih RP itu telah membuka mata Cik Julita kepada pengetahuan baru yang beliau sifatkan sebagai amat “mengagumkan”. 

“Setelah melalui WSS, saya sering tersenyum kepada tetamu, manakala sebelum ini, saya jarang senyum,” jelas Cik Julita tentang kemahiran yang telah beliau pelajari.

Dengan kemenangannya itu, beliau bakal mewakili Singapura di WorldSkills Asean, di Manila, Filipina, pada Ogos, serta WorldSkills Antarabangsa di Shanghai pada September 2026. 

Segala peluang untuk menyelami bidang hotel dan layanan tamu akan Cik Julita capai, demi memenuhi impiannya untuk bekerja dalam perusahaan perhotelan. 

“Sejak saya di ITE (Institut Pendidikan Teknikal), saya sudah tahu saya ingin mengikuti jurusan Hotel dan Layanan Tamu... Separuh jalan, saya mula menyoal diri saya sendiri, dan timbul keraguan tentang komitmen saya terhadap pertandingan ini...”
Cik Wan Julita Alyssa Wan Ismail, pelajar Diploma dalam jurusan Pengurusan Hotel dan Layanan Tamu di Politeknik Republic (RP), yang perlu melalui latihan selama enam bulan sebagai persiapan pertandingan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg