Sejak kecil, sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) bagi saya hanyalah sekadar menonton dari jauh – sama ada di kaca televisyen di rumah ataupun di perkarangan Esplanade sambil menanti letupan bunga api yang menerangi malam.
Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa suatu hari nanti saya akan menyaksikan persiapan di belakang tabir, apatah lagi menaiki rakit M3G Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Ternyata hari tersebut jatuh pada tanggal 6 Julai dengan saya berpeluang menyaksikan persiapan di belakang tabir 169 anggota Batalion ke-23, Artileri Singapura, dan Batalion Ke-35, Jurutera Tempur Singapura bersiap sedia untuk Tembak Hormat Presiden.
Antaranya ialah Koperal Muhammad Shahrizuan Hidayat, 22 tahun, yang mengambil bahagian dalam NDP buat kali pertama sebagai salah seorang daripada enam anggota yang mengendalikan satu penembak 25-Pounder.
Koperal Shahrizuan memainkan peranan penting kerana beliau merupakan orang pertama untuk menyampaikan peluru kosong kepada anggota seterusnya yang mengisi penembak sebelum das tembakan dilepaskan.
Menurut beliau, ia adalah “pengalaman yang tidak boleh dilepaskan” kerana ia adalah pengalaman yang datang bergolek “sekali seumur hidup”.
“Saya tidak boleh melepaskan peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada NDP.
“Saya rasa sangat terharu kerana saya akan menyertai NDP tahun ini bersama rakan-rakan saya yang berada di M3G RUF,” tambah Koperal Shahrizuan dari Batalion ke-23, Artileri Singapura (23 SA).
Sebagai penembak 25-Pounder, Koperal Shahrizuan akan melepaskan tembakan sebanyak 21 kali sebagai tabik ketika Presiden tiba di perarakan dan sebagai penghormatan tentera.
Menjelang petang, Marina Basin semakin semarak dengan empat meriam 25 paun pada rakit Mobility 3rd Generation (M3G) memulakan perjalanan sejauh 5.87 kilometer.
Pelayaran terpanjang dalam sejarah Marina Basin itu tepat pada masanya dengan pemeriksaan perbarisan Presiden Tharman Shanmugaratnam di Padang.
M3G ialah kenderaan beroda mobiliti tinggi yang berfungsi sebagai platform mudah alih untuk menyeberangi laluan air, dan boleh dikonfigurasikan sama ada sebagai rakit bermotor atau jambatan terapung.
Para penembak melambai dan tersenyum kepada orang ramai di sepanjang The Promontory di Marina Bay, dan pertunjukan kegemaran ramai, payung terjun yang juga dikenali gelaran ‘Singa Merah’, memeriahkan lagi sambutan.
Dengan rakit masih berarak di perairan, pasukan Singa Merah sudah mula kelihatan di langit, berterbangan untuk mendarat.
Apabila rakit akhirnya tiba di tempat untuk menembak, semua anggota SAF berada dalam posisi sedia menunggu detik untuk melepaskan tembakan bagi upacara Tembak Hormat Presiden.
Dalam keadaan sedia, helikopter Chinook CH-47F RSAF terbang di langit membawa bendera Singapura melintasi Marina Bay.
Suasana di The Promontory bergema dengan tembakan pertama yang dilepaskan sebaik sahaja bendera melintas dan asap menghiasi langit.
Sepanjang pertunjukan tersebut, para anggota SAF kekal tenang dan profesional, sesuatu yang saya sangat kagumi kerana ia memerlukan kewaspadaan yang berterusan.
Setelah menyaksikan di belakang tabir dan latihan NDP, saya kini tidak sabar untuk menyaksikan hasil lengkap acara utama pada 9 Ogos nanti, dan akan lebih menghargainya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg