Topik diikuti
Pergi ke BHkuDulu gagal berniaga piza, kini bangkit jual susyi resipi ibu dari dapur komersial
Dulu gagal berniaga piza, kini bangkit jual susyi resipi ibu dari dapur komersial
Di sebalik populariti susyi bakar jenama Raisugood, tersimpan kisah jatuh bangun pengasasnya, Cik Raodah Arshad, dalam dunia perniagaan.
Pada 2012, beliau bersama keluarganya mengambil alih sebuah francais piza dengan harapan dapat mengembangkan perniagaan tersebut.
Namun, persaingan sengit, kenaikan harga sewa dan kekangan pemasaran memaksa mereka menjual francais itu selepas lima tahun berdepan pelbagai cabaran.
Enggan mengalah, Cik Raodah, 38 tahun, bangkit semula pada 2021 apabila resipi susyi bakar hasil air tangan ibunya membuka peluang baru dalam bidang perniagaan makanan.
Dengan memanfaatkan media sosial dan platform digital, Raisugood kini mempunyai lebih 7,000 pengikut Instagram serta sebuah dapur komersial dan kedai di East Village, Simpang Bedok.
Perjalanan keusahawanan Cik Raodah mendapat pengiktirafan apabila beliau menjadi antara 59 usahawan yang diraikan dalam Anugerah Spirit of Enterprise (SOE) 2026 pada 5 November di The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.
Anugerah anjuran pertubuhan amal bukan berasaskan keuntungan dan bukan pemerintah, Spirit of Enterprise (SOE), itu disampaikan dalam majlis yang dihadiri Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, sebagai tetamu terhormat.
Anugerah tersebut mengiktiraf ketabahan, inovasi dan sumbangan usahawan daripada pelbagai industri serta peringkat perkembangan perniagaan.
Presiden SOE, Cik Vie Djayayanti, turut menekankan kepentingan menghargai individu yang mengutamakan kepentingan orang lain dan berusaha membawa perubahan positif kepada masyarakat.
“Saya sentiasa mengagumi individu yang mendahulukan kepentingan orang lain daripada diri sendiri.
“Walaupun ramai antara kita bercita-cita membina masyarakat yang lebih baik, ada yang sanggup mencurahkan masa, tenaga dan kehidupan mereka untuk menjadikan hasrat itu satu kenyataan,” katanya.
Bagi Cik Raodah, pengiktirafan tersebut cukup bermakna selepas hampir dua dekad berkecimpung dalam bidang keusahawanan.
Minatnya berputik pada 2007 ketika beliau masih menuntut di Politeknik Temasek dalam jurusan Bioteknologi.
Ketika itu, beliau mula menjual barangan dari luar negara secara dalam talian sebagai usaha sampingan.
Minat tersebut diteruskan meskipun beliau kemudian bekerja sebagai eksekutif makmal di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
“Saya melihat peluang untuk mendapatkan barangan daripada pembekal luar negara dan membawanya masuk ke Singapura.
“Dari situlah minat saya dalam bidang keusahawanan mula berkembang,” katanya.
Mengimbas kembali pengalaman mengurus francais piza bersama keluarganya, Cik Raodah berkata cabaran yang dilalui banyak mengajarnya tentang selok-belok menjalankan perniagaan.
Pengalaman tersebut turut dimanfaatkan apabila beliau mula mengembangkan perniagaan makanan sendiri, berbekalkan keyakinan terhadap masakan dan resipi ibunya.
Peluang baru muncul pada 2021, ketika pandemik Covid-19, apabila ibunya mencuba resipi sushi bakar selepas menonton video tular dari Filipina.
Yakin dengan keenakan hidangan itu, Cik Raodah menghantar sushi bakar tersebut kepada seorang pempengaruh media sosial, Etrangle.
Tanpa diduga, ulasan positif pempengaruh itu mencetuskan sambutan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.
“Ketika itu, kami belum memuat naik satu pun gambar sushi bakar di Instagram.
“Selepas pempengaruh itu memberikan ulasan positif, kami mula menerima banyak mesej. Malah, ada yang bertanya sama ada kami benar-benar menjual sushi bakar kerana tiada gambarnya dalam akaun kami,” katanya.
Sambutan di luar jangkaan itu mendorong Cik Raodah mempelajari sendiri cara membangunkan laman web menggunakan platform Shopify bagi memudahkan urusan tempahan.
Pada Mei 2022, beliau membuka sebuah dapur komersial kecil di East Village, Simpang Bedok, dengan kos permulaan sekurang-kurangnya $10,000.
Kini, selain menerima tempahan dalam talian dan menerusi platform penghantaran makanan, Raisugood turut menyertai acara jualan sementara (pop-up) di pusat beli-belah bagi memperkenalkan produknya kepada lebih ramai pelanggan.
Mengimbas kembali perjalanannya, Cik Raodah mengakui bahawa membangunkan perniagaan makanan dan minuman (F&B) di Singapura bukan sesuatu yang mudah.
“Pelbagai cabaran dan kegagalan terpaksa ditempuhi, termasuk malam-malam tanpa tidur serta saat-saat saya meragui kemampuan diri sendiri.
“Malah, selepas bertahun-tahun berkecimpung dalam bidang ini, saya masih terus belajar sambil mengharungi cabaran yang mendatang,” katanya.
Justeru, pengiktirafan SOE memberi peluang kepada beliau untuk merenung kembali sejauh mana perniagaannya telah berkembang.
“Penerimaan anugerah ini membuatkan saya merenung kembali sejauh mana kami telah melangkah, meskipun saya masih menganggap diri sebagai pemain kecil dalam kalangan usahawan lain yang telah mencapai pelbagai kejayaan.
“Saya belum berada di tahap yang saya inginkan, tetapi saya pasti sudah lebih baik berbanding dahulu. Satu pengajaran penting yang saya peroleh ialah kita tidak perlu mempunyai segala jawapan atau mengetahui segala-galanya sebelum berani mengambil langkah pertama,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Cik Raodah berharap dapat memperluas jangkauan Raisugood melalui lebih banyak kerjasama dengan peniaga lain dan penyertaan dalam acara jualan.
“Namun, lebih daripada sekadar mengembangkan perniagaan, impian saya adalah untuk membina sebuah jenama yang mampu bertahan dalam jangka panjang dan menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan oleh anak-anak saya kelak,” katanya.