Sewaktu tahun pertama pengajian di Institut Teknologi Singapura (SIT) dalam jurusan Kejuruteraan, Encik Haris Ahmad telah mengambil ‘keputusan gila’ untuk berhenti pengajian dan memulakan perniagaan makanan dan minuman (F&B) bersama ibunya, Cik Wati Abdul Khamid.

Bermula sebagai penjual gerai makanan Indonesia di kampusnya sendiri, beliau berjaya melangkah maju untuk membuka restoran Kulon di Bali Lane lebih setahun kemudian pada 2020.

Yang lebih ‘gila’ dalam perjalanan keusahawanannya itu, Encik Haris, 31 tahun, telah terjun botol kepada bidang perniagaan tanpa sebarang pengalaman mahupun ilmu pengurusan perniagaan.

Dihubungi Berita Harian (BH), beliau berkata:

“Ketika saya mengambil keputusan untuk membuka perniagaan, saya tiada pengalaman dan sebarang ilmu asas tentang dunia keusahawanan.

“Saya mula dengan membuka gerai di kampus universiti saya bersama ibu saya. Pelanggan saya pula merupakan rakan sekelas di universiti.

“Tapi, saya pasang tekad dengan ibu saya iaitu selepas setahun menjalankan gerai di kampus, matlamat kami adalah untuk membuka restoran.”

Berbekalkan tekadnya yang jitu sejak pertama kali mengendalikan gerai, beliau telah ringankan tulang dan mulut untuk mengembara dan mengutip ilmu daripada beberapa pemilik perniagaan.

Justeru, beliau merantau ke Indonesia untuk menghampiri beberapa pemilik gerai atau restoran bakmi di sekitar Jakarta bagi mendapatkan inspirasi dan panduan.

“Apabila saya ingin mula berniaga, saya tidak mengenali mana-mana usahawan dan tidak juga mempunyai sistem sokongan.

“Jadi, saya harus tebalkan muka dan pergi ke beberapai kedai bakmi di sekitar Jakarta untuk bertanya setiap pemilik tentang cara-cara mereka berniaga,” kata anak bongsu dalam tiga beradik itu.

Hari ini, kecemerlangannya sebagai seorang usahawan terakam jelas tatkala beliau mampu mengembangkan perniagaannya dengan membuka tiga lagi kedai F&B di bawah naungan Kulon Pte Ltd. iaitu Ono Ramen, Harko Coffee dan Kulon New Bahru.

Bukan itu sahaja, sekitar Jun 2026, beliau telah menebar sayapnya ke luar negara dengan membuka restoran menjual hidangan ikan patin bakar iaitu ‘Mr. Patin’ di Jakarta bersama seorang lagi rakan kerjasamanya.

Dengan kejayaan luar biasa sebagai seorang usahawan yang telah mengambil langkah berani, tidak hairanlah Encik Haris menjadi salah seorang daripada 59 penerima Anugerah Semangat Keusahawanan atau Spirit of Enterprise (SOE) pada 5 November di The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.

Majlis anugerah itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Pada 2025, Encik Haris pernah tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia.

Mengulas tentang makna anugerah SOE itu buat dirinya sebagai usahawan Melayu, beliau berkata ia menjadi satu lambang tanggungjawab buat dirinya untuk menyumbang kembali dan menyokong usahawan Melayu yang lain.

“Saya bersyukur diberikan anugerah ini tapi saya lihat ia sebagai satu tanggungjawab untuk memberi sokongan dan bimbingan ikhlas buat usahawan Melayu yang lain.

“Saya tidak ingin mereka lalui apa yang saya lalui ketika baru hendak berjinak-jinak dengan dunia perniagaan iaitu tanpa sebarang bimbingan.

“Jadi, saya ingin membina satu ekosistem di mana usahawan Melayu dapat saling mendukung demi kemajuan landskap perniagaan orang Melayu di Singapura,” kata beliau.