Daripada menangis apabila berhadapan dengan orang dewasa yang tidak dikenalinya di kaunter pembayaran, Irfan Helmi Mohamad Faeez kini sudah berani membuat bayaran sendiri serta mengucapkan kekata seperti “tolong” dan “terima kasih”.

Perubahan itu cukup bermakna bagi ibunya, Cik Shamsydar Ani, 36 tahun, yang pernah bimbang tentang kemahiran sosial anaknya selepas Irfan menghabiskan tahun-tahun awal dalam suasana dicengkam pandemik Covid-19.

Sebagai anak sulung dan satu-satunya anak ketika itu, Irfan banyak menghabiskan masa bersama ibu bapanya dan kurang berpeluang berinteraksi dengan orang lain.

Menurut Cik Shamsydar, istilah ‘bayi Covid’ cukup menggambarkan anaknya yang ketika kecil lebih manja, sensitif dan pemalu.

“Saya sangat bimbang tentang kemahiran sosial Irfan dan bagaimana dia bermain dengan kanak-kanak lain, terutama pada tahun-tahun awal perkembangannya kerana dia anak pertama dan satu-satunya ketika Covid melanda.

“Tetapi apabila dia semakin membesar dan meluangkan lebih banyak masa di tadika, dia menjadi lebih mudah bergaul dan mesra. Sekarang dia sangat selesa berada dalam persekitaran sosial bersama rakan-rakannya,” kata Cik Shamsydar, seorang pencipta kandungan digital. Suaminya pula bekerja sebagai jurutera pesawat.

Usaha membina keyakinan Irfan dilakukan secara perlahan-lahan. Kebetulan, beberapa rakan Cik Shamsydar turut melahirkan anak sekitar tempoh yang sama.

Mereka kemudian sengaja mengatur sesi bermain atau playdate supaya anak-anak mereka berpeluang berinteraksi.

“Ia mengambil sedikit masa, tetapi lama-kelamaan Irfan semakin kurang takut dengan orang dan lebih selesa menerima kehadiran orang lain,” katanya.

Pengalaman membesarkan Irfan ketika pandemik juga bukan mudah bagi Cik Shamsydar.

Beliau berkongsi bahawa tempoh selepas melahirkan sebagai sunyi kerana anggota keluarga tidak dapat menziarahinya dan bayi.

Kini, menjelang kemasukan Irfan ke Darjah Satu pada 2027, kebimbangan Cik Shamsydar sudah beralih daripada soal pergaulan kepada membina kemahiran berdikari.

Antaranya, Irfan sedang dilatih supaya lebih yakin berinteraksi dengan orang dewasa yang tidak dikenalinya.

“Dulu dia boleh menangis semasa di kaunter tetapi sekarang dia sudah boleh membuat bayaran dan mengucapkan ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ apabila membeli sesuatu.

“Dia belum lagi membeli makanan sendiri di kedai, tetapi kami masih ada masa untuk melatihnya,” kongsinya.

Irfan juga sedang dibiasakan dengan rutin pagi, termasuk mandi dan bersiap untuk ke sekolah.

Dari segi akademik pula, Cik Shamsydar tidak mahu terlalu memberi tekanan kepadanya sebelum sekolah rendah bermula.

Sebaliknya, keluarga itu memberi keutamaan kepada kemahiran membaca.

“Bagi kami, membaca adalah kemahiran paling penting apabila masuk Darjah Satu. Kemahiran yang lain akan menyusul.

“Kami juga rasa sekarang masanya untuk dia berseronok dan menikmati tahun-tahun terakhir di prasekolah... jadi kami tidak terlalu bimbang tentang akademik buat masa ini,” katanya.

Malah, keluarga itu masih memanfaatkan peluang melancong ke Perth, Australia, sebelum Irfan terikat dengan jadual sekolah rendah.

Bagi Irfan sendiri, perkara yang paling dinanti-nantikan tentang Darjah Satu bukanlah buku atau kelas.

Sebagai seorang yang gemar makan, dia paling teruja untuk membeli makanan sendiri di kantin dan membawa bekal ke sekolah.

“Dia membesar sama seperti saya juga membesar sebagai seorang ibu. Saya hanya berdoa agar dia terus berkembang dengan baik dan menikmati pengalaman apabila melangkah ke sekolah rendah,” katanya.