Topik diikuti
Pergi ke BHkuDunia penyiaran kehilangan perintis hiburan Melayu
Allahyarham terbitkan program kesenian Melayu seperti Kelab Dondang Sayang, Senandung Rakyat pada 1980-an
Dunia penyiaran kehilangan perintis hiburan Melayu
Walaupun dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat angin ahmar, semangat juang dan ketabahan penerbit program televisyen veteran, Encik Mockram Kassim, tidak pernah luntur.
Malah, sifat tersebut menjadi antara lain yang akan terus dikenang oleh insan tersayang tentang beliau, luah anak bongsu Allahyarham, Cik Habibah Mockram, 36 tahun, kepada Berita Harian (BH).
Allahyarham Mockram, atau nama sebenar Mohamed Mohckeram Kassim, 76 tahun, telah menghembuskan nafas terakhirnya akibat pneumonia dan angin ahmar di Hospital Masyarakat St. Andrew’s, di Simei, sekitar waktu maghrib pada 9 November.
Jenazah beliau dimandikan di kediaman adiknya dan dikebumikan di Pusara Aman pada pagi 10 November.
Beliau meninggalkan seorang balu, tiga anak, dan enam cucu.
Menurut Cik Habibah, Allahyarham dihantar ke jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) Hospital Besar Changi (CGH) akibat pneumonia pada 19 Oktober.
Cik Habibah berkata doktor memaklumkan ahli keluarga untuk mempersiapkan diri sekiranya keadaan ayahnya merosot.
Namun, setelah keadaannya merosot, beliau dipindahkan ke hospital masyarakat tersebut pada 27 Oktober untuk penjagaan paliatif dan keselesaan.
“Arwah ayah saya merupakan seseorang yang sangat cekal. Walaupun doktor memberitahu kami untuk mempersiapkan diri, beliau masih bertahan untuk hampir tiga minggu.
“Malah, semasa beliau disahkan menghidap angin ahmar, doktor memberi prognosis tiga bulan tetapi ayah saya kuat dan bertahan untuk hampir dua tahun,” katanya.
Allahyarham disahkan menghidap angin ahmar pada Ramadan lepas pada Mac 2025.
Sejak kejadian tersebut, Cik Habibah berkata Allahyarham tidak dapat berkomunikasi dan berada antara keadaan tidak sedarkan diri.
Justeru, beliau kagum akan ketabahan ayahnya yang beliau amati sepanjang hayat ayahnya.
“Dalam pekerjaannya juga, beliau cekal mengharungi rintangan untuk menerbitkan pelbagai program televisyen yang kreatif, berani dan unik,” tambahnya.
Allahyarham Mockram dikenali kerana idea dan penghasilan rancangan kesenian Melayu yang ditayangkan di saluran televisyen Badan Penyiaran Singapura (SBC) pada tahun 1980-an.
Antaranya, beliau menerbitkan program seperti Kelab Dondang Sayang (1981) yang memaparkan lagu dondang sayang; Serbaneka (1986) yang menampilkan perbezaan seni hadrah dan kompang; dan juga Senandung Rakyat (1989) yang memaparkan dikir barat.
Tambah Cik Habibah, yang juga seorang penggiat seni, penglibatan ayahnya dalam program kesenian juga menjadi satu kebiasaan dan mencetuskan minat beliau dalam bidang sama.
Allahyarham telah memulakan kerjayanya sebagai penyelaras penerbit dan artis pada 1968 di Radio Televisyen Singapura (RTS).
Selepas itu, beliau menjadi penerbit kanan di Unit Sukan dan Kebudayaan pada 1978 dan menggalas jawatan penerbit eksekutif kanan pada 1990.
Pada 2019, beliau kembali aktif dalam landskap seni dengan menerbitkan satu persembahan lagi muzikal Melayu berjudul Malam Selendang Sutra yang memaparkan warna-warni muzik dan tarian tradisional Melayu.
Mantan Ketua Perhubungan Komuniti Melayu dan Ketua Eaglevision, Mediacorp, Cik Sabariah Ramilan, 67 tahun, berkata Allahyarham dianggap perintis program hiburan Melayu yang banyak mengajar dan membimbing rakan seindustri.
“Arwah selalu memberi saya peluang untuk berkongsi idea dan kami akan membincangkannya bersama-sama untuk memperbaikinya sebelum pelaksanaan.
“Kalau kami ada soalan pula, beliau selalu terbuka untuk menjawab dan membimbing kami,” kenang Cik Sabariah yang pernah bertugas sebagai penulis, pengkaji penulis dan penerbit di bawah Allahyarham.
Tambahnya, kebanyakan rancangan yang diterbitkan Allahyarham seperti Warisan Kita dan Kelab Dondang Sayang sangat bermakna dan melestarikan budaya Melayu.
Justeru, beliau tidak hairan rancangan Allahyarham terpahat dalam kenangan masyarakat setempat.
Mantan penerbit, Encik Samri Badi, 79 tahun, juga berkata Allahyarham kreatif dan berani dalam menghasilkan program yang unik dan melibatkan masyarakat.
“Beliau juga menerbitkan rancangan di kawasan kejiranan untuk mendekati masyarakat dan menggunakan band muzik agar rancangan itu tampil lebih menarik untuk penonton.
“Jadi, rancangannya banyak yang juga berteraskan semangat masyarakat,” kongsi beliau, yang pernah menjadi penerbit untuk beberapa rancangan di mana Allahyarham merupakan penerbit eksekutif.
Menyingkap tentang pesanan ayahnya, Cik Habibah berkata:
“Walaupun saya tak dapat bercakap dengan ayah untuk lebih setahun, saya akan selalu mengingat pesanannya untuk menjaga solat dan keluarga kami.”
