Murid Sekolah Rendah Townsville akan mendapat bantuan daripada duta bas apabila berulang-alik ke sekolah menggunakan perkhidmatan bas 261, di bawah satu skim percubaan yang bermula pada 9 Mei di Ang Mo Kio.
Duta tersebut akan mengiringi murid yang menaiki perkhidmatan 261 pada pagi dan petang apabila mereka pergi dan balik antara sekolah dengan Pusat Tukaran Bas Ang Mo Kio sebagai sebahagian daripada skim itu, yang merupakan satu kerjasama antara sekolah dengan pengendali bas awam SBS Transit (SBST).
Seorang murid darjah enam, Napassanun Rungvittayanun, yang pergi dan balik sekolah di Ang Mo Kio Avenue 10 menggunakan perkhidmatan 261, berkata beberapa murid tertidur di dalam bas dan terlepas perhentian mereka.
“Dengan adanya seorang duta bas, murid boleh diingatkan supaya turun dari bas tepat pada masanya,” ujar murid berusia 12 tahun itu.
Seorang suri rumah, Cik Suma Vinakota, 42 tahun, yang mempunyai seorang anak di sekolah itu, berkata inisiatif tersebut akan memberikan lebih banyak jaminan kepada ibu bapa.
“Mereka boleh diyakinkan bahawa ada seorang duta di dalam bas dan tiada kanak-kanak akan tertinggal,” katanya.
“Saya baru bercakap kepada seorang lagi ibu yang mempunyai anak perempuan di darjah dua yang menaiki bas itu.
“Dia kata sejak ada duta di dalam bas, dia lebih yakin untuk membiarkan anak perempuannya menaiki bas.”
SBST berkata inisiatif itu bertujuan menjadikan pengangkutan awam satu pilihan berdaya maju bagi kanak-kanak kecil yang bersekolah memandangkan kekurangan pemandu bas sekolah privet.
Digelar sebagai Khidmat Bas Awam Mesra Sekolah, percubaan itu akan berlangsung hingga akhir penggal sekolah pada November.
Ia akan menyaksikan duta mengiringi murid semuda enam tahun dari Pusat Tukaran Bas Ang Mo Kio ke Sekolah Rendah Townsville menaiki bas pada 6.58 pagi, 7.02 pagi dan 7.06 pagi, dan pada perjalanan pulang pada 1.28 petang, 1.35 petang dan 1.42 petang.
Pasukan duta semasa terdiri daripada dua sukarelawan ibu bapa dari sekolah itu dan seorang kakitangan SBST, walaupun lapan lagi sukarelawan ibu bapa telah melahirkan minat menjadi duta, kata seorang jurucakap SBST.
Syarikat bas itu juga berkata ia terbuka untuk mengambil lebih ramai duta yang mungkin bukan ibu bapa murid sekolah tersebut.
Seorang suri rumah, Cik Surangpimol Treerapongse, 48 tahun, seorang sukarelawan ibu bapa Sekolah Rendah Townsville dan duta bas di bawah projek itu, berkata: “Ini adalah projek kreatif yang membantu ibu bapa memastikan anak-anak mereka selamat dalam perjalanan ke sekolah.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg