Sekitar 17,000 karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) – termasuk teknisyen berkemahiran – berjaya mendapat pekerjaan dengan bantuan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 2024, bertambah hampir seganda daripada 8,800 pada 2023.
Berkongsi perangkaan itu dalam sidang media pada 13 Februari, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata peratusan pencari kerja PME yang mendekati e2i turut meningkat – daripada 45 peratus dalam suku keempat 2023 kepada 61 peratus dalam suku keempat 2024.
Ini hasil peningkatan usaha oleh NTUC untuk memberi sokongan kepada PME dan juga peluasan rangkaian khidmat kerjaya dan pekerjaan e2i ke 27 pusat serata Singapura.
Secara keseluruhannya, e2i berjaya membantu lebih 29,000 pencari kerja mendapatkan pekerjaan pada 2024.
“Kami mendapati bahawa golongan PME, dalam wawancara dan maklum balas yang diterima, mahukan tiga perkhidmatan utama – bimbingan kerjaya, penempatan pekerjaan dan nasihat peningkatan kemahiran.
“Melalui inisiatif Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) dengan kerjasama syarikat dan institut, serta e2i, yang membolehkan orang awam mendapatkan khidmat NTUC, kami mendapati kami telah melakukan yang terbaik dalam aspek ini, dan kakitangan NTUC juga dapat membawa perubahan, termasuk dalam segmen yang awal sebelum ini kurang mendapat perhatian,” kata beliau.
Sidang media itu diadakan menjelang Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Februari.
Semasa sidang media itu, Encik Ng turut berkongsi usaha NTUC dalam mempertingkat jaminan pekerjaan dan peluang pembangunan kerjaya untuk pekerja termasuk daya usaha Rangkaian Pementoran Syarikat baru, yang akan menyediakan bimbingan kemahiran dan kerjaya kepada pekerja.
Dalam usaha membantu pekerja, NTUC mengambil langkah proaktif untuk mempertingkat daya kerja dan jaminan pekerjaan pekerja, termasuk PME, ujar beliau.
Menurut Tinjauan Sentimen Ekonomi 2025 NTUC, 34 peratus pekerja melahirkan rasa prihatin tentang jaminan pekerjaan dalam tiga bulan mendatang.
Satu laporan Forum Ekonomi Sedunia (WEF) pula menunjukkan 70 peratus tenaga kerja Singapura perlu menjalani peningkatan kemahiran atau kemahiran semula menjelang 2030.
Laporan itu juga mendapati enam daripada 10 syarikat Singapura mengenal pasti jurang kemahiran sebagai penghalang kepada usaha transformasi perniagaan mereka.
Beberapa inisiatif NTUC telah membantu kedua-dua pekerja dan syarikat.
Ini termasuk Geran Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC), yang telah memberi manfaat kepada lebih 7,400 pekerja dengan kenaikan gaji sebenar, laluan kerjaya berstruktur melalui Pelan Pembangunan Kerjaya, dan elaun kemahiran.
Geran CTC membantu membiayai kos untuk syarikat mengolah semula proses perniagaan, supaya lebih ramai pekerja boleh ditempatkan dalam pekerjaan yang lebih baik.
Sementara itu, lebih 3,500 pencari kerja mendapat manfaat daripada inisiatif Pembimbing Kerjaya Maya yang dilancarkan pada Ogos 2024.
“Inovasi ini membolehkan kami mendekati lebih ramai pekerja di luar pangkalan tradisional kami dan dengan lebih baik, malah juga PME,” kata Encik Ng.
“Kami telah membantu lebih ramai menyepadukan senarai pekerjaan ke dalam Bank Pekerjaan nasional supaya pencarian (kerja) menjadi lebih mudah untuk pembimbing dan pekerja.
“Dengan Pembimbing Kerjaya Maya yang menggunakan AI (kecerdasan buatan) itu, kami juga dapat mengenal pasti dengan lebih baik kursus peningkatan kemahiran yang relevan kepada individu, kemahiran yang diperlukan dalam resume, dan lebih penting, jurang kemahiran bagi pekerjaan baru yang ingin dipadankan,” tambah Encik Ng.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg