Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NTUC lancar program pementoran baru bagi sokong pekerja, PME maju dalam kerjaya

Chee Meng kongsi usaha NTUC pertingkat jaminan pekerjaan dan peluang pembangunan kerjaya untuk pekerja
Feb 13, 2025 | 4:33 PM
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkongsi tentang usaha NTUC mempertingkat jaminan pekerjaan dan peluang pembangunan kerjaya untuk pekerja dalam satu sidang media yang diadakan pada 13 Februari, menjelang Belanjawan 2025 yang akan disampaikan pada 18 Februari.
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkongsi tentang usaha NTUC mempertingkat jaminan pekerjaan dan peluang pembangunan kerjaya untuk pekerja dalam satu sidang media yang diadakan pada 13 Februari, menjelang Belanjawan 2025 yang akan disampaikan pada 18 Februari. - Foto ST

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) terus meningkatkan usahanya dalam menyokong golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME), kata setiausaha agungnya, Encik Ng Chee Meng, yang mengumumkan satu daya usaha pementoran syarikat baru untuk membantu pekerja maju dalam kerjaya mereka.

Dengan bilangan PME yang membentuk tenaga kerja Singapura dijangka bertambah dalam beberapa tahun mendatang, Encik Ng berkata NTUC mahu mempertingkat usahanya dan menyediakan perkhidmatan yang memberi tambah nilai kepada golongan PME.

“Kami mahu terus mempertingkat usaha dan mewujudkan kesedaran lebih tinggi mengenai perkhidmatan kami, menyediakan khidmat yang menambah nilai kepada PME, dan melihat sama ada kami boleh membina kekuatan baru dalam ruang kerja baru.

“Ini sedang tenaga kerja Singapura beralih kepada lebih 60 peratus PME dalam lima tahun menjelang 2030,” kata beliau.

Encik Ng berkongsi tentang usaha NTUC mempertingkat jaminan pekerjaan dan peluang pembangunan kerjaya untuk pekerja dalam satu sidang media yang diadakan pada 13 Februari, menjelang Belanjawan 2025 yang akan disampaikan pada 18 Februari.

Di bawah daya usaha Rangkaian Pementoran Syarikat yang diumumkan, NTUC dan kesatuan sekerja gabungannya akan menghubungkan pekerja dalam syarikat yang diwakili kesatuan dengan rangkaian 1,200 mentor dan ketua industri yang berpengalaman bagi bimbingan kemahiran dan kerjaya.

Rangkaian itu juga akan membantu memperkukuh budaya pembelajaran berterusan dan pembangunan untuk pekerja di tempat kerja.

Sebagai permulaan, ia akan dilancarkan kepada syarikat di bawah tiga kesatuan – Kesatuan Sekerja Perusahaan Elektronik dan Elektrik (Uweei), Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HSEU) dan Kesatuan Sekerja ST Engineering (STESU).

Berkongsi lanjut, Encik Ng berkata tiga kesatuan itu dipilih bagi usaha perintis kerana pekerja yang diwakili mereka adalah pelbagai, dan kesatuan tersebut menyokong program itu serta tujuannya.

“(Contohnya), STESU merupakan sebuah kesatuan yang mewakili pekerja pelbagai kolar, termasuk kolar putih dan kolar biru. Dan apabila kami membentuk kesatuan dengan ST Engineering, kami mewakili bilangan PME yang besar,” kata Encik Ng.

Encik Ng menambah bahawa lebih separuh 1,200 mentor yang ada itu merupakan ketua industri di peringkat C suite atau pengarah, dan lebih 80 peratus daripada mereka mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya 15 tahun.

Rangkaian Pementoran Syarikat itu melengkapi Program Pementoran Eksekutif NTUC sedia ada, yang telah memberi manfaat kepada lebih 146 mentee sejak dilancarkan pada 2023.

Pusingan seterus program itu, yang akan diadakan dari Mac hingga Mei, akan membantu membimbing lebih 250 mentee PME menukar ke peranan dan industri baru, dengan tumpuan khusus pada sektor baru seperti kecerdasan buatan (AI).

Encik Ng turut berkongsi harapannya bagi Belanjawan 2025 semasa sidang media itu, termasuk suntikan baru dana pemerintah bagi skim Geran Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) yang membiayai kos untuk syarikat mengolah semula proses perniagaan, supaya lebih ramai pekerja boleh ditempatkan dalam pekerjaan yang lebih baik.

Lebih 85 peratus daripada $100 juta yang diberikan kepada Geran CTC telah diperuntukkan untuk projek yang diluluskan sejak skim itu dilancarkan pada 2022.

Di samping itu, beliau berharap Belanjawan 2025 akan memberi pencerahan tentang strategi pertumbuhan pemerintah untuk Singapura.

“Kami mahu memahami apakah strategi pertumbuhan Singapura dalam dunia yang penuh cabaran supaya sebagai rakan tiga pihak, kami dapat memainkan peranan menyokong inisiatif pemerintah untuk membantu perniagaan agar kami boleh memberikan yang terbaik kepada pekerja dari segi gaji, kebajikan dan prospek kerja yang lebih baik,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg