Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

East Asia Forum kena arahan Pofma atas kenyataan palsu berkaitan tadbir urus S’pura

Jan 22, 2025 | 6:32 PM
Pejabat Pofma berkata ia telah mengarahkan platform tersebut supaya memaparkan notis pembetulan bagi artikel itu pada 22 Januari.
Pejabat Pofma berkata ia telah mengarahkan platform tersebut supaya memaparkan notis pembetulan bagi artikel itu pada 22 Januari. - Foto ZAOBAO

Platform akademik dalam talian, East Asia Forum, telah dikenakan arahan pembetulan kerana menerbitkan artikel yang mengandungi beberapa kenyataan palsu berkaitan tadbir urus Singapura, termasuk pengendalian pertikaian 38 Oxley Road serta perbicaraan ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh.

Pada 22 Januari, Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma) berkata ia telah mengarahkan platform tersebut supaya memaparkan notis pembetulan bagi artikel itu, mengikut arahan Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah.

Artikel tersebut ditulis oleh Profesor Madya Michael Barr dari Kolej Perniagaan, Kerajaan dan Undang-Undang di Universiti Flinders, bertajuk ‘Perdana Menteri baru Singapura terjerat dalam politik lama’ (Singapore’s new prime minister entangled in old politics).

Platform yang berpangkalan di Australia itu dikehendaki memaparkan notis pembetulan di bahagian atas artikel tersebut, serta di laman media sosial X, Facebook, dan LinkedIn – yang turut mengongsi artikel tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Notis tersebut perlu memberi pembaca akses kepada pembetulan yang dibuat Pemerintah di laman web pemeriksaan fakta, Factually.

“Ini membolehkan pembaca membaca kededua versi dan membuat kesimpulan mereka sendiri,” kata pejabat Pofma.

Artikel yang diterbitkan di East Asia Forum pada 14 Januari “mengandungi dakwaan yang palsu dan mengelirukan”, kata PMO.

Dakwaan pertama adalah Pemerintah telah menyalahgunakan sumber dan masa Kabinet, Parlimen, polis serta agensi lain untuk meneruskan agenda peribadi Menteri Kanan (SM), Encik Lee Hsien Loong, terhadap adik-beradiknya dan menjadikan rumah keluarganya – 38 Oxley Road – sebagai sebuah tugu peringatan buat bapanya, mendiang Encik Lee Kuan Yew, dan dirinya sendiri.

Dakwaan itu tidak tepat kerana siasatan polis terhadap Encik Lee Hsien Yang dan isterinya, Cik Lee Suet Fern, dijalankan selepas tribunal tatatertib mendapati mereka berbohong setelah mengangkat sumpah.

PMO juga mengesahkan bahawa SM Lee telah lama menarik diri daripada perbincangan berkaitan rumah itu.

Tiada keputusan dibuat mengenai 38 Oxley Road, kerana Lembaga Warisan Negara (NHB) sedang menjalankan penilaian jika tapak itu sesuai diwartakan sebagai monumen negara.

Selain itu, artikel Profesor Barr secara palsu mendakwa bahawa tuduhan terhadap Encik Singh dilakukan secara tidak berasas, dan mengandungi motif selain daripada penguatkuasaan undang-undang.

PMO mengesahkan bahawa kes Encik Singh dan timbalan pengerusi WP, Encik Faisal Manap, semasa sesi Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) pada Disember 2021, telah dirujuk kepada pendakwa raya.

Sesi COP itu dilakukan berhubung pembohongan bekas Anggota Parlimen WP, Cik Raeesah Khan di Parlimen.

“Perbicaraan dijalankan di mahkamah secara terbuka, dan Encik Singh telah memberi keterangan, begitu juga dengan saksi lain. Hujah penutupan telah dibuat,” tambah PMO. 

Keputusan kes itu dijangka diumumkan pada 17 Februari. 

PMO turut menyenaraikan beberapa percanggahan dan kepalsuan lain dalam artikel tersebut, serta menyatakan bahawa Profesor Barr telah membuat tuduhan terhadap Singapura selama beberapa dekad, dan komen beliau biasanya bersifat “pedas dan berat sebelah, kurang kaitan dengan fakta”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg