Satu arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) telah dikeluarkan ke atas agensi berita Bloomberg berikutan satu artikelnya pada 12 Disember mengenai transaksi banglo kelas baik (GCB) di Singapura.
Laman web The Edge Singapore, The Independent Singapore dan The Online Citizen (TOC) juga dikenakan arahan pembetulan itu kerana menyiarkan sebahagian atau sepenuhnya kenyataan Bloomberg itu.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, mengeluarkan arahan bagi perintah itu, kata Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dalam satu kenyataan pada 23 Disember.
Kementerian itu berkata kenyataan palsu dalam artikel Bloomberg itu “menyerang ketelusan transaksi hartanah di Singapura”.
“Kepalsuan itu memberi gambaran bahawa Singapura tidak mempunyai rangka kerja undang-undang kukuh untuk memerlukan pendedahan maklumat kepada pemerintah dalam urus niaga GCB.
“Adalah demi kepentingan awam kepalsuan ini ditangani supaya keyakinan orang ramai terhadap pemerintah tidak terjejas,” ujar MinLaw.
Artikel Bloomberg bertajuk ‘Perjanjian rumah besar Singapura semakin diselubungi kerahsiaan’ itu meliputi perjanjian GCB yang dimeterai dari Januari hingga awal Disember, diukur mengikut nilai.
Artikel itu menyatakan dapatannya adalah daripada data yang disusun oleh Bloomberg News dan firma List Sotheby’s International Realty.
Ia juga menyebut urus niaga hartanah melibatkan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Pada 16 Disember, dua menteri menyatakan dalam satu hantaran di Facebook bahawa mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg dan media lain kerana menyiarkan kenyataan yang mereka anggap berbaur fitnah.
The Straits Times menyatakan ia difahamkan bahawa kedua-dua menteri itu telah mengeluarkan surat tuntutan berhubung laporan tersebut selepas mendapatkan nasihat undang-undang.
Kenyataan MinLaw menambah bahawa artikel itu menyampaikan beberapa kepalsuan.
Ia mendakwa tiada rekod pemerintah sedia terdapat bagi urus niaga jualan GCB sekiranya kaveat tidak didaftarkan.
Kaveat ialah notis rasmi kepada mahkamah bahawa sesuatu tindakan tertentu tidak sepatutnya diambil tanpa memberitahu orang yang memberikan notis tersebut.
MinLaw berkata semua maklumat mengenai pemilikan dan pemindahan hartanah, termasuk bagi semua GCB, tersedia di portal Perkhidmatan Maklumat Tanah Bersepadu yang diuruskan oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA) – sama ada kaveat telah atau belum didaftarkan bagi transaksi penjualan.
MinLaw menambah bahawa kaveat tidak bertujuan menjejaki urus niaga hartanah atau memastikan ketelusan, tetapi didaftar secara sukarela oleh pihak yang ingin melindungi kepentingan mereka dalam sesebuah hartanah.
“
“Kepalsuan itu memberi gambaran bahawa Singapura tidak mempunyai rangka kerja undang-undang kukuh untuk memerlukan pendedahan maklumat kepada pemerintah dalam urus niaga GCB. Adalah demi kepentingan awam kepalsuan ini ditangani supaya keyakinan orang ramai terhadap pemerintah tidak terjejas.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg