Cawangan Prasekolah Little Paddington di Bishan akan ditutup mulai 10 Jun, namun ibu bapa hanya diberitahu tentang penutupan itu seminggu lebih awal.
Ibu bapa pada awalnya dimaklumkan pada 30 Mei bahawa pajakan premis itu akan berakhir pada hari berikutnya, iaitu pada 31 Mei, kerana pihak prasekolah tidak dapat mencapai persetujuan dengan pemilik tanah, lapor The Straits Times (ST).
Ibu bapa diberitahu anak-anak mereka akan dipindahkan ke cawangan lain di Thomson Walk pada 2 Jun.
Sekolah tersebut kemudian menerima lanjutan selama seminggu untuk operasi cawangan Bishan, sekali gus menangguhkan pemindahan kanak-kanak sehingga 10 Jun.
Sebagai respons kepada pertanyaan daripada ST, Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) berkata ia sedang menyiasat sama ada Prasekolah Little Paddington telah melaksanakan tanggungjawab sewajarnya mengikut peraturan yang ditetapkan.
Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan.
Menurut garis panduan Ecda, prasekolah perlu memberi notis enam bulan kepada ibu bapa dan Ecda sebelum menamatkan operasi.
Jika tidak dipatuhi, pengendali boleh dikenakan amaran atau disekat daripada memohon lesen pada masa hadapan.
Prasekolah juga wajib memaklumkan jika berdepan risiko pajakan tidak diperbaharui.
Ecda berkata mereka hanya dimaklumkan tentang penutupan itu pada 30 Mei.
Agensi tersebut kini sedang bekerjasama dengan prasekolah untuk menyokong ibu bapa yang terjejas.
“Kami faham bahawa penutupan secara tiba-tiba seperti ini boleh memberi kesan yang besar kepada ibu bapa dan anak-anak,” kata Ecda.
Prasekolah Little Paddington mempunyai 10 cawangan di Singapura, termasuk di Kovan, Tanglin, East Coast dan Sixth Avenue.
Cawangan Bishan menempatkan 16 kanak-kanak, namun tiga telah menarik diri.
Sekolah itu kini membantu 13 kanak-kanak berpindah ke cawangan Thomson Walk, termasuk menyediakan perkhidmatan bas dari Bishan.
Prasekolah tersebut memaklumkan ibu bapa melalui aplikasi mudah alih pada 30 Mei bahawa mereka telah berbincang dengan tuan tanah selama dua bulan untuk memperbaharui pajakan, tetapi tidak berjaya melanjutkan pajakan selepas 31 Mei.
Beberapa ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati dan terkejut dengan cara pihak prasekolah mengendalikan isu itu.
Seorang daripada mereka berkata: “Pihak pengurusan Little Paddington bukan sahaja tidak telus menjelaskan punca penutupan, malah hanya memaklumkan kurang 24 jam sebelum pajakan tamat.”
Seorang lagi menambah: “Selepas ibu bapa membantah, barulah sekolah adakan mesyuarat dalam talian pada 30 Mei dan mula kemas kini melalui WhatsApp.”
Ibu bapa masih menunggu maklumat lanjut mengenai pengangkutan bas untuk anak-anak mereka.
Pihak pengurusan Prasekolah Little Paddington menjelaskan melalui e-mel bahawa mereka perlu berpindah selepas pajakan tamat dan telah menawarkan lokasi alternatif.
“Kami pada mulanya merancang berpindah hujung minggu itu, tetapi berjaya melanjutkan tempoh pemindahan lebih seminggu agar kanak-kanak lebih bersedia. Ecda telah dimaklumkan dan kami menerima nasihat tentang langkah seterusnya,” kata pihak sekolah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg