Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kanak-kanak prasekolah sebar mesej jimat air

Mar 8, 2025 | 7:36 PM
Guru prasekolah di PCF Sparkletots@Jurong Central, Cik Nurul Asyiqin Rahim (tengah), bersama kanak-kanak dan hasil seni mereka di reruai Hari Air Sedunia Singapura 2025.
Guru prasekolah di PCF Sparkletots@Jurong Central, Cik Nurul Asyiqin Rahim (tengah), bersama kanak-kanak dan hasil seni mereka di reruai Hari Air Sedunia Singapura 2025. - Foto PCF SPARKLETOTS PRESCHOOL

Murid di prasekolah Yayasan Masyarakat PAP (PCF) Sparkletots@Jurong Central dididik pelbagai cara menjimatkan air di rumah dan di sekolah.

Mereka, antara lain, diingatkan agar menggunakan cawan ketika berkumur selepas menggosok gigi serta mencuci mainan mereka di dalam dulang berisi air dan bukan di bawah paip air yang mengalir.

Selaras dengan komitmen prasekolah itu membentuk kanak-kanak yang bertanggungjawab secara sosial dan prihatin terhadap alam sekitar sejak usia muda, guru prasekolah itu, Cik Nurul Asyiqin Rahim, berkata pihaknya buat julung-julung kalinya telah menyertai kempen tahunan penjimatan air anjuran PUB – Hari Air Sedunia Singapura 2025 (SWWD 2025).

Berkongsi lebih lanjut, Cik Asyiqin, 23 tahun, berkata:

“Di PCF Sparkletots (PCFSP), kami percaya dalam memupuk murid yang mempunyai tanggungjawab sosial dan mempunyai kesedaran terhadap alam sekitar sejak usia kecil.

“Penyertaan dalam kempen Hari Air Sedunia ini sejajar dengan komitmen kami untuk menerapkan nilai-nilai penting seperti kelestarian, pemuliharaan, dan kewarganegaraan aktif dalam diri mereka.”

Antara usaha yang diterapkan prasekolah itu untuk menggalakkan usaha penjimatan air dalam kalangan kanak-kanak ialah menutup paip air apabila tidak digunakan dan menggunakan penyiram tanaman untuk menyiram tumbuhan.

Cik Asyiqin menambah sejak beberapa tahun lalu, mereka telah menyepadukan pendidikan alam sekitar ke dalam kurikulum melalui pelbagai projek di bawah inisiatif ‘Start Small Dream Big’ (SSDB), yang menggalakkan kanak-kanak melakukan tindakan bermakna untuk masyarakat.

“Setiap tahun, penyertaan kami berkembang dengan meneroka aktiviti baru yang dapat meningkatkan pemahaman serta penglibatan kanak-kanak dalam usaha kelestarian,” ujarnya.

Di majlis pelancaran SWWD 2025 di Our Tampines Hub pada 8 Mac, kelihatan empat karya seni berwarna-warni disusun rapi di reruai prasekolah itu.

Guru, kanak-kanak serta ibu bapa, telah bekerjasama menghasilkan karya seni itu menggunakan bahan kitar semula.

Menjelaskan mengenai karya seni tersebut, Cik Asyiqin berkata ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kelestarian dan pemuliharaan air, sambil menggalakkan orang ramai menjimat air.

“Sebagai satu kelas, kami berbincang tentang kepentingan menjimat air, memikirkan idea bersama kanak-kanak, dan menukar idea tersebut menjadi projek kraf.

“Bagi menekankan lagi mesej tentang kelestarian, kami hanya menggunakan bahan kitar semula dalam karya seni tersebut,” jelas Cik Asyiqin, yang menambah mereka mengumpulkan bahan kitar semula seperti kadbod, cat, gam dan kertas berwarna dari rumah, sekolah, serta tong kitar semula di luar pusat prasekolah mereka.

Karya seni kanak-kanak K2 dari  PCF Sparkletots@Jurong Central.
Karya seni kanak-kanak K2 dari  PCF Sparkletots@Jurong Central. - Foto PCF SPARKLETOTS PRESCHOOL
Karya seni kanak-kanak K1 dari  PCF Sparkletots@Jurong Central.
Karya seni kanak-kanak K1 dari  PCF Sparkletots@Jurong Central. - Foto PCF SPARKLETOTS PRESCHOOL

Menurut Cik Asyiqin, mereka juga menyaksikan penglibatan positif ibu bapa yang menghantar gambar dan video anak-anak mereka mengamalkan tabiat menjimat air di rumah.

Antara kemahiran yang diterapkan dalam kalangan kanak-kanak semasa pembikinan karya tersebut termasuklah perbincangan, pengalaman secara langsung atau ‘hands-on’, pembelajaran antara rakan sebaya, serta kreativiti dalam berkarya.

Menurut Cik Asyiqin, muridnya berasa sangat bangga dan teruja dengan hasil kraf mereka.

“Melihat hasil usaha mereka menjadi sesuatu yang bermakna memberikan mereka dan keluarga mereka rasa pencapaian yang besar,” tambahnya.

Salah seorang pelajar K1, Ehan Zaki Yew Nor Shamin, lima tahun berkata:

“Saya seronok dengan keseluruhan proses ini kerana saya dapat bekerjasama dengan rakan-rakan saya.

“Saya paling suka menampal bahan-bahan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg