Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) telah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa (IAC) sebagai sebahagian usaha berterusan Singapura untuk memperkukuh mutu prasekolah di bawah pelan Prasekolah Bermutu 2030.

Dalam satu kenyataan media pada 23 September, Ecda menyatakan bahawa IAC akan dipengerusikan oleh Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, dan menghimpunkan lima pakar yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dari seluruh dunia.

Mereka akan memberikan perspektif strategik mengenai trend terkini, amalan berasaskan bukti, serta strategi bagi menyokong inisiatif berkaitan mutu Ecda, bersama dengan pakar, pendidik, dan rakan kongsi sektor tempatan.

“Singapura telah mencapai kemajuan ketara dalam memperkukuh aksesibiliti, kemampuan kos, dan mutu sektor prasekolah kita.

“Semasa kita mulakan pelan Prasekolah Bermutu 2030, IAC akan membawa perspektif antarabangsa yang berharga bagi melengkapkan kepakaran tempatan kita yang kukuh,” kata Encik Goh.

Beliau menambah, pandangan itu akan membantu untuk memperkukuh usaha sedia ada yang berkesan di Singapura, belajar daripada perkembangan di seluruh dunia, dan memberikan sokongan lebih baik kepada kanak-kanak untuk berkembang maju pada tahun-tahun awal mereka.

“Hasrat kami adalah agar Singapura bukan sahaja menjadi tempat untuk belajar daripada yang terbaik dalam bidang pembangunan awal kanak-kanak, bahkan juga menyumbang secara aktif dalam membentuk amalan terbaik tersebut,” tambahnya.

Menurut Ecda, IAC akan menasihati agensi itu mengenai apa yang menjadi keutamaan penting di bawah pelan Prasekolah Bermutu 2030.

Ia termasuk pembelajaran dan pembangunan profesional buat pendidik serta pemimpin, agenda penyelidikan Ecda, dan kajian yang dijalankan atau diamanahkan oleh agensi itu.

Di samping itu, inisiatif itu bakal menawarkan perkembangan perspektif sejagat serta bukti baharu bagi mengemudi hala tuju dasar dan strategi pendidikan awal kanak-kanak di Singapura pada masa hadapan.

Jika sesuai, Ecda akan berkongsi maklumat terkini mengenai inisiatif dan penglibatannya apabila dasar serta program mula dibentuk.

Ecda turut menyatakan bahawa IAC tiada sebarang kuasa membuat keputusan ke atas dasar Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Ecda.

“Ia hanya berkhidmat dalam kapasiti penasihat di mana peranannya adalah untuk memberikan nasihat strategik dan perspektif antarabangsa bagi menyokong usaha MSF dan Ecda dalam memperkukuh mutu penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak di Singapura,” jelas agensi itu.

Ecda turut menambah bahawa ahli IAC akan berkhidmat bagi tempoh tiga tahun – sehingga 2029 – dan membawa kepakaran yang merangkumi dasar, penyelidikan, serta amalan pembangunan awal kanak-kanak.

Sepanjang tempoh itu, mereka akan berurusan dengan Ecda menerusi gabungan mesyuarat secara bersemuka dan dalam talian untuk memberikan perspektif berterusan serta menyokong dialog dan pertukaran pengetahuan yang berlanjutan.

Mereka dipilih oleh Encik Goh, berdasarkan kepakaran dan pengalaman cemerlang mereka merangkumi dasar, penyelidikan, dan amalan pembangunan awal kanak-kanak, serta kepelbagaian perspektif yang dibawa daripada sistem pembangunan awal kanak-kanak yang berbeza.

Antara ahli IAC ialah Cik Sue Robb dari England; Profesor Iram Siraj daripada Universiti Oxford; Profesor Jane Page daripada Universiti Melbourne; Profesor Mugyeong Moon dari Seoul; dan Profesor Madya Yang Weipeng daripada Universiti Pendidikan Hong Kong.

Ketua Pegawai Eksekutif Ecda, Cik Ku Geok Boon, berkata:

“Menerusi IAC, Ecda menghimpunkan kepakaran antarabangsa dengan kepakaran tempatan kita serta pengalaman mendalam pendidik, pengendali, penyelidik dan keluarga kita untuk mencabar pemikiran kita, menjana pandangan baharu dan menterjemahkan bukti kepada amalan yang lebih baik.

“Akhirnya, mutu mesti hadir dalam pengalaman harian kanak-kanak – memupuk mereka supaya menjadi ingin tahu, yakin, dengan asas yang kukuh untuk kehidupan.”