Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah pertimbang luaskan pemeriksaan latar belakang sektor libat kanak-kanak
Pemerintah pertimbang luaskan pemeriksaan latar belakang sektor libat kanak-kanak
Pemerintah sedang mempertimbangkan untuk meluaskan pemeriksaan bagi peranan yang melibatkan hubungan dengan kanak-kanak dan golongan muda agar meliputi lebih banyak sektor, termasuk pemeriksaan secara sukarela bagi sektor yang tidak dikawal selia.
Pada masa ini, mereka yang memohon peranan melibatkan hubungan berpanjangan dengan kanak-kanak dan golongan muda diperiksa untuk kesalahan lalu, termasuk sabitan bagi kesalahan seksual, sekiranya peranan ini dikawal selia oleh agensi awam, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, di sidang Parlimen pada 8 September.
Peranan yang dikawal selia oleh agensi awam termasuk mereka yang memohon sebagai kakitangan sepenuh masa masjid, guru agama diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), kakitangan di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (MOE) dan tadika yang dilesenkan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), serta anggota Daftar Jurulatih Nasional (NROC) SportSG.
Encik Goh berkata demikian sebagai respons kepada soalan beberapa Anggota Parlimen (AP), antara lain termasuk Cik Elysa Chen (GRC Bishan-Toa Payoh), dan Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar), tentang langkah untuk memperkukuh rangka kerja pemeriksaan bagi pekerjaan yang melibatkan hubungan dengan kanak-kanak dan golongan muda.
“Pemerintah telah mempertimbangkan, sejak sekian lama, kemungkinan untuk meluaskan skop pemeriksaan latar belakang agar merangkumi lebih banyak jenis peranan yang melibatkan hubungan dengan kanak-kanak dan golongan muda, termasuk sama ada mahu memperkenalkan pemeriksaan secara sukarela bagi sektor yang tidak dikawal selia.
“Ini boleh dilaksanakan dalam bentuk sistem berasaskan sijil, seperti yang dicadangkan oleh beberapa AP.
“Pertimbangan yang diambil kira termasuk kebolehlaksanaan keperluan pemeriksaan sedemikian, dan sama ada majikan, terutamanya syarikat kecil dan sederhana (SME), mampu mengendalikan keperluan pemeriksaan tersebut,” kata Encik Goh.
Perbahasan ini menyusuli kes ‘pempengaruh agama’ yang dikenakan hukuman penjara 27 tahun dan 10 bulan di samping 24 sebatan pada 17 Ogos kerana melakukan kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki muda antara 2023 dengan 2024.
Pesalah, seorang lelaki berusia 37 tahun, berulang kali merogol adik daripada dua beradik tersebut, yang ketika itu berusia antara enam dengan lapan tahun, di beberapa lokasi termasuk tandas sebuah masjid yang sering mereka kunjungi untuk menunaikan solat bersama.
Encik Goh turut berkata: “Rangka kerja pemeriksaan yang sedang kita kaji ini berkemungkinan menyediakan satu lagi lapisan perlindungan untuk membuat saringan dan mengurangkan risiko.
“Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa ia bukanlah satu mekanisme yang dijamin berkesan.
“Ia hanyalah satu lapisan perlindungan, dan sesetengah kes, bukan semua kes, mungkin dapat dikesan melaluinya.”
Dalam pada itu, Encik Goh menambah bahawa keselamatan kanak-kanak perlu diberi keutamaan, dan butiran lanjut akan dikongsi apabila sedia kelak.
