Singapura telah mencapai kemajuan yang ketara dalam pembangunan wanita, namun kemajuan yang berkekalan bergantung kepada perubahan pemikiran yang telah berakar, serta memastikan kaum lelaki turut serta dalam perbincangan, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong.
Berucap semasa majlis ulang tahun ke-150 YWCA Singapura pada 29 Ogos, Encik Tong berkata meskipun dasar dan undang-undang telah memperkukuh kesaksamaan jantina, perundangan sahaja tidak memadai.
“Pemikiran yang berakar dalam masyarakat masih mengekang wanita daripada penyertaan penuh, terutamanya dalam peranan kepimpinan,” katanya.
Encik Tong menegaskan, walaupun Singapura telah menggubal undang-undang seperti Piagam Wanita dan perundangan keadilan di tempat kerja, kemajuan ini harus diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Beliau menegaskan bahawa wanita masih memikul tanggungjawab penjagaan yang lebih berat berbanding lelaki.
“Ini memberi kesan kepada wanita dalam pelbagai aspek – pengorbanan matlamat kerjaya, kebebasan kewangan dan persiapan untuk persaraan, kesejahteraan mental, perasaan terasing dan kesunyian,” jelasnya.
Justeru, agensi seperti Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC) ditubuhkan bagi melindungi rakyat daripada ancaman dalam talian dengan lebih baik, termasuk penyalahgunaan imej intim dan palsu yang menyasarkan wanita secara tidak seimbang, kongsi Encik Tong.
“Dengan OSC, mangsa tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada penyedia perkhidmatan dalam talian untuk melakukan perkara yang betul,” katanya.
Namun, walaupun langkah dan agensi baru seperti demikian ditubuhkan, beliau menegaskan bahawa undang-undang sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah tanpa perubahan budaya.
“Walaupun dasar itu penting, kesannya harus dirasakan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Inilah sebabnya pertubuhan seperti YWCA kekal penting dalam merapatkan jurang antara dasar dengan masyarakat.
Yang penting, Encik Tong menekankan bahawa tanggungjawab untuk mencetus perubahan tidak boleh diletakkan pada wanita sahaja.
“Perubahan dalam pemikiran masyarakat tidak akan berlaku jika separuh daripada masyarakat diketepikan,” katanya.
Beliau menggesa rakan kongsi merentas sektor supaya “dengan sengaja melibatkan pihak lelaki, agar kemajuan dapat dikekalkan dan diperkukuh.”
Secara peribadi, Encik Tong, yang merupakan bapa kepada tiga anak perempuan, berkata beliau mahu mereka membesar dalam Singapura “di mana stereotaip tidak sesekali mengehadkan pilihan mereka, di mana seorang gadis tidak merasakan impiannya terlalu besar – kerana kita sebagai masyarakat memikul tanggungjawab bersama untuk mewujudkannya”. – BATRISYIA BAHARIM
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg