Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Edwin Tong: Hab Sukan S’pura buat semua rakyat

Aug 18, 2024 | 10:58 PM
Hab Sukan Singapura di Kallang akan turut menjadi tempat buat semua warga Singapura untuk menikmati sukan, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.
Hab Sukan Singapura di Kallang akan turut menjadi tempat buat semua warga Singapura untuk menikmati sukan, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong. - Foto HAB SUKAN SINGAPURA

Kallang Alive bukan sekadar tempat bagi kemudahan sukan, bahkan fasa seterusnya pembangunan kawasan itu adalah mahu menjadikan Hab Sukan Singapura sebagai “rumah” buat setiap warga Singapura – baik atlet yang bercita-cita tinggi mahupun mereka yang bersukan pada hujung minggu – berkembang maju, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 18 Ogos, Encik Tong berkata komitmen pemerintah kepada sukan melepasi tahap mencapai kemenangan.

Ia sebaliknya melambangkan kepercayaan pemerintah dalam memupuk impian dan daya tahan, serta membina masyarakat.

“Terdapat begitu banyak contoh bagaimana sukan dapat menyemai nilai-nilai ketabahan, kecekalan, kehormatan, kerja berpasukan, disiplin dan membina perwatakan kuat,” tambah beliau.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan Pelan Induk Kallang Alive baru semasa berucap dalam bahasa Inggeris di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2024 pada 18 Ogos.

Di bawah pelan induk itu, pemerintah akan membina kemudahan di bawah satu bumbung untuk menyokong aspirasi dan kecemerlangan sukan atlet negara di Hab Sukan Singapura di Kallang.

Dinamakan ‘Home of Team Singapore’, atau rumah kepada atlet Team Singapura, bangunan itu akan menampilkan kemudahan sains dan perubatan baru, selain menyepadukan pusat latihan nasional untuk beberapa sukan penting.

Ia turut akan menempatkan atlet-pelajar daripada Sekolah Sukan Singapura (SSP) supaya mereka dapat belajar dan berlatih bersama atlet senior.

Ini bermakna SSP, yang kini terletak Woodlands, akan berpindah ke Kallang.

Namun, Encik Tong berkata kawasan Kallang Alive bukan hanya untuk atlet elit.

“Ia adalah untuk atlet yang ada dalam diri kita semua.

“Oleh itu, kami mengubah Kallang menjadi ruang untuk sesiapa sahaja untuk menikmati keseronokan bersukan. Sama ada anda memegang raket buat kali pertama atau bersorak dengan atlet kesukaan anda, pasti ada sesuatu buat semua orang,” ujarnya lagi.

Pemerintah turut merancang membina arena tertutup baru yang canggih, bersebelahan tapak semasa Stadium Tertutup Singapura.

Arena baru itu bertujuan menganjurkan acara bertaraf tinggi di sini.

Ia akan dapat menampung 18,000 penonton dan dapat disesuaikan untuk pelbagai acara termasuk hiburan, sukan dan gaya hidup.

Kallang akan turut menjadi tempat buat semua warga Singapura menikmati sukan.

Satu jalan utama yang melalui Hab Sukan Singapura akan diubah menjadi kawasan bagi pejalan kaki.

Lebuh hias masyarakat itu akan disuntik dengan kemudahan dan program sukan untuk penggunaan dan penyertaan orang ramai.

“Dengan melabur dalam Kallang, kami melabur dalam ruang bagi setiap rakyat Singapura boleh berkembang maju, meraikan bersama dan membina kenangan yang berkekalan.

“Kami menjadikan Kallang sebagai hab untuk impian – sama ada mencipta rekod kebangsaan baru atau menikmati masa bermutu bersama keluarga,” tambah Encik Tong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg